KUALA LUMPUR – Polis diminta menyiasat secara menyeluruh serta mendedahkan pihak yang didakwa terbabit dalam konspirasi mensabotaj kestabilan negara dan menjatuhkan kerajaan.
Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Kamil Munim berkata, sekiranya benar wujud usaha terancang membabitkan individu berpengaruh dan agensi media antarabangsa, tindakan tegas perlu diambil tanpa kompromi.
Beliau berkata, dakwaan berkenaan tidak boleh dianggap remeh, lebih-lebih lagi jika terdapat pihak dari dalam negara yang bertindak sebagai ejen kepada kepentingan asing demi meraih keuntungan peribadi.
“Perkara ini menyentuh secara langsung soal kedaulatan dan maruah negara, dan tidak sekadar polemik atau rengekan biasa.
“Justeru adalah wajar kita mendesak agar pihak polis segera menjalankan siasatan menyeluruh dan mendedahkan petualang yang terlibat serta yang bersubahat tanpa mengira kedudukan,” katanya menerusi hantaran di platform X.
Beliau turut menegaskan bahawa isu itu tidak wajar dilihat sebagai percaturan politik semata-mata kerana rakyat berhak mengetahui fakta sebenar di sebalik dakwaan tersebut.
“Negara tidak boleh bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang sanggup memperdagang kedaulatan serta maruah negara demi apa saja kepentingan yang merosakkan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, memaklumkan pihaknya telah membuka kertas siasatan susulan laporan polis yang diterima.
Beliau berkata, kes berkenaan disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengikut Seksyen 14B Kanun Keseksaan, berkaitan penglibatan dalam aktiviti yang boleh memudaratkan demokrasi berparlimen.
Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan identiti individu berpengaruh serta agensi media antarabangsa yang dikaitkan dengan dakwaan tersebut.


