
PUTRAJAYA – Kerajaan akan meneruskan rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) berhubung keputusan terbaru mengenai tarif, kata Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau menjelaskan bahawa Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani, telah memaklumkan kepada Jemaah Menteri bahawa beliau dijadual mengadakan pertemuan rasmi dengan rakan sejawat dari AS pada minggu hadapan.
“Menteri MITI, Datuk Seri Johari Abdul Ghani telah memberi sedikit menyampaikan maklumat terkini dan beliau telah memaklumkan bahawa beliau akan berhubung dengan rakan sejawat dari Amerika Syarikat pada minggu depan mengenai perkara ini,” katanya pada sidang media mingguan di sini, hari ini.
Tambah Fahmi, sebarang tindakan lanjut akan bergantung kepada hasil perbincangan tersebut.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa Mahkamah Agung Amerika Syarikat memutuskan bahawa tindakan presiden menggunakan kuasa darurat untuk mengenakan tarif balas terhadap rakan dagang AS adalah tidak berperlembagaan.
Mahkamah mengekalkan keputusan mahkamah rendah dan memutuskan bahawa Donald Trump telah melebihi kuasa presidennya apabila menggunakan Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa 1977 bagi mengenakan tarif global secara meluas, termasuk duti terhadap barangan dari China, Kanada dan Mexico.
Sebahagian besar tarif yang diperkenalkan Trump dibatalkan melalui dokumen rasmi setebal 170 muka surat.
Bagaimanapun, Trump mengumumkan beliau telah menandatangani dokumen yang mengenakan tarif 10 peratus ke atas semua import dari setiap negara.








