
PUTRAJAYA – Dana Inovasi Media (DIM) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 menerima sambutan menggalakkan daripada organisasi media tempatan.
Menteri Komunikasi dan Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, bagi Fasa 1 yang dibuka dari 1 hingga 14 Januari lalu, sebanyak 34 daripada 50 organisasi media tempatan yang membuat permohonan telah diluluskan, dengan jumlah pembiayaan keseluruhan berjumlah RM10.3 juta.
Beliau berkata, Fasa 2, yang berlangsung antara 9 hingga 22 Februari lalu, turut mencatatkan sambutan positif dengan penyertaan 19 organisasi media.
Menurut Fahmi, perkembangan ini menunjukkan kesungguhan pemain industri untuk terus berinovasi serta menyesuaikan model perniagaan dengan keperluan semasa dan keadaan pasaran.
“Keputusan ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan dana disalur secara berimpak tinggi, telus dan memberi manfaat langsung kepada pembangunan kapasiti industri termasuk aspek teknologi, kandungan dan pembangunan bakat,” katanya ketika sidang media pasca mesyuarat Kabinet.
Beliau berkata Fasa Ketiga akan bermula Ahad ini dan berlanjutan sehingga 14 Mac depan.
Fahmi menegaskan kerajaan yakin inisiatif DIM ini akan membuka lebih banyak peluang kepada organisasi media tempatan untuk berkembang, sambil terus menyumbang kepada penyampaian maklumat yang tepat, berintegriti, beretika dan berkualiti kepada rakyat.
“Dana ini bukan hanya bertujuan memperkukuh keupayaan organisasi media melalui penerapan teknologi baharu, pembangunan kandungan berkualiti serta peningkatan kemahiran tenaga pekerja malah menjadi pemangkin kepada ekosistem media yang lebih mampan, progresif dan berdaya saing terutama pada ketika pelbagai perubahan sedang melanda sektor media,” ujarnya.
Sebelum ini, kerajaan memperuntukkan RM30 juta bagi pelaksanaan dana berkenaan, dengan pembiayaan sehingga RM300,000 bagi setiap permohonan, tertakluk kepada penilaian jawatankuasa.






