
JERUSALEM – Perdana Menteri India, Narendra Modi, menyatakan bahawa India berdiri ‘teguh dengan penuh keyakinan’ bersama Israel, ketika negara itu berhadapan saat ‘getir’.
Dia berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di Knesset, Parlimen Israel, semalam.
Modi yang berada di Israel dalam lawatan kerja dua hari – untuk mengukuhkan hubungan perdagangan dan pertahanan – menyampaikan takziah ‘terdalam rakyat India’ kepada setiap keluarga yang kehilangan orang tersayang dalam kejadian pada Oktober 2023 lalu.
“Kami merasakan kesakitan anda, kami berkongsi kesedihan anda. India berdiri bersama Israel dengan penuh keyakinan pada saat ini dan selepas ini,” kata Modi seperti dilapor AFP.
Dalam ucapannya, dia tidak menyebut secara khusus tentang puluhan ribu rakyat Palestin yang terkorban dalam perang lebih dua tahun antara Israel dan Hamas di Gaza.
Bagaimanapun, Modi menyatakan India menyokong semua usaha yang menyumbang kepada perdamaian berkekalan dan kestabilan serantau.






