
LABUAN – Perbadanan Labuan (PL) menjelaskan geran berjumlah RM2.88 juta bagi kajian kebolehlaksanaan projek jambatan menghubungkan Labuan dan Menumbok telah dipulangkan sepenuhnya kepada Kementerian Kewangan.
Menerusi kenyataan media Jabatan Hal Ehwal Korporat PL hari ini, penjelasan itu merujuk kepada Laporan Ketua Audit Negara 1/2026 yang menyatakan geran bagi kajian tersebut telah dipulangkan dan gagal dilaksanakan sebelum ini.

“Projek berkenaan telah dibatalkan susulan perubahan dasar serta keutamaan Kerajaan Persekutuan pada tahun 2018, yang secara langsung menyebabkan kajian tersebut tidak dapat diteruskan.
“Peruntukan tersebut telah dipulangkan sepenuhnya kepada Kementerian Kewangan pada 3 Okt 2024, selaras dengan peraturan semasa yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.
Dalam perkembangan berkaitan, PL memaklumkan Kementerian Kerja Raya kini telah memulakan Kajian Kebolehlaksanaan Pembinaan Jambatan Labuan–Sabah yang baharu.
Kajian terbaharu itu dilaporkan telah bermula pada Mei 2025 dan dijangka siap sepenuhnya menjelang November 2026.




