
KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah mengedarkan hampir 200,000 Notis Bayaran Ansuran Cukai (CP500) kepada pembayar cukai di seluruh negara dengan anggaran jumlah cukai mencecah RM1.1 bilion setakat Januari 2026, menurut Kementerian Kewangan Malaysia (MOF).
MOF berkata, kerajaan menyedari terdapat pembayar cukai yang hanya mempunyai pendapatan penggajian tetapi turut menerima notis CP500.
“Semakan LHDN mendapati pembayar cukai berkenaan telah membuat pelaporan yang kurang tepat dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan (atau BNCP), yang mana sebahagian pendapatan penggajian telah dilaporkan sebagai pendapatan selain penggajian.
“Dalam hal ini, tindakan pengesanan dan pembatalan CP500 sedang diambil ke atas pembayar cukai berkenaan,” menurut kementerian itu menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen Malaysia hari ini.
Jawapan tersebut diberikan di Dewan Rakyat bagi menjawab pertanyaan Lim Guan Eng (PH-Bagan) dan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) berhubung asas pengeluaran CP500, jumlah pembayar cukai yang terlibat serta unjuran hasil kutipan.
Dalam perkembangan sama, MOF memaklumkan bahawa pembayar cukai yang mempunyai pendapatan selain penggajian tidak akan dikenakan penalti sekiranya gagal menjelaskan bayaran ansuran CP500 sepanjang tahun 2026.
“Pembayar cukai juga dinasihatkan supaya mengemas kini maklumat pelaporan pendapatan dalam BNCP tahun taksiran 2025 bagi mengelakkan penerimaan CP500 pada masa hadapan,” tambah kementerian itu.





