
SIBU — Seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera dalam satu kemalangan melibatkan dua buah lori di Jalan Batu 12, di sini, awal pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.04 tengah malam sebelum menggerakkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor dengan bantuan BBP Sarikei ke lokasi kejadian.
Menurut kenyataan itu, kemalangan membabitkan sebuah lori muatan baja yang melanggar bahagian belakang sebuah lori tangki yang diletakkan di tepi jalan.
“Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Stanley Ali, 30, manakala dua mangsa cedera ialah Schwarznegger Samuel Numpang, 30, dan Maxwell Bernard Empam, 22.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati dua kelindan lori baja tersepit di dalam kabin, manakala pemandu lori berkenaan berjaya keluar menyelamatkan diri dalam keadaan cedera,” menurut kenyataan tersebut.
Operasi menyelamat bagaimanapun berdepan kesukaran berikutan ruang kerja yang sempit serta keadaan kenderaan yang remuk teruk, menyebabkan Pasukan Keluaran Operasi (PKO) terpaksa menunggu bantuan sebuah lori dari Bintangor bagi menarik kenderaan terbabit untuk membuka ruang kerja.
Mangsa pertama berjaya dikeluarkan dalam keadaan sedar sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, seorang lagi mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM di lokasi kejadian sebelum mayatnya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut,” ujar kenyataan tersebut.
PKO menggunakan peralatan khas bagi merenggang dan memotong bahagian kabin yang tersepit sebelum berjaya mengeluarkan mangsa.
Operasi menyelamat tamat pada pukul 6.55 pagi selepas semua mangsa berjaya dikeluarkan.





