Platform media sosial wajib patuhi undang-undang Malaysia – Fahmi

KUALA LUMPUR – Semua platform media sosial yang beroperasi di Malaysia diwajibkan menghormati dan mematuhi undang-undang negara, khususnya yang melibatkan aspek keselamatan serta perlindungan kanak-kanak dalam persekitaran digital.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu selaras dengan pelaksanaan syarat pengesahan umur bagi pendaftaran akaun media sosial yang mula dikuatkuasakan hari ini menerusi Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC).

Beliau berkata, penguatkuasaan kedua-dua kod di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) itu merupakan langkah awal yang penting dalam usaha melindungi golongan kanak-kanak berusia bawah 16 tahun daripada pelbagai risiko dan ancaman di alam siber.

“Ini adalah langkah pertama, ada langkah-langkah susulan yang perlu kita ambil termasuk terhadap platform (media sosial) yang ingkar. Ada platform yang merasakan mereka lebih besar daripada negara kita.

“Kalau mahu berniaga dan melaksanakan aktiviti dalam negara kita, platform besar wajib menghormati undang-undang negara kita,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, hari ini.

Bermula hari ini, Malaysia melaksanakan keperluan pengesahan umur bagi pendaftaran dan pembukaan akaun media sosial bagi memastikan individu berumur di bawah 16 tahun tidak lagi dibenarkan memiliki akaun di platform berkenaan.

Bagi pengguna sedia ada, proses pengesahan umur akan dijalankan secara berperingkat oleh penyedia perkhidmatan media sosial dalam tempoh sehingga enam bulan.

Menerusi ketetapan baharu itu, pengguna yang ingin mendaftar akaun media sosial perlu mengemukakan dokumen pengenalan rasmi yang dikeluarkan kerajaan seperti MyKad, pasport atau MyDigital ID sebagai bukti pengesahan umur.

Keperluan tersebut terpakai kepada semua perkhidmatan media sosial berlesen termasuk Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube.

Fahmi berkata, kerajaan akan terus memantau tahap pematuhan platform digital terhadap peraturan yang ditetapkan bagi memastikan keselamatan pengguna, khususnya kanak-kanak, sentiasa terjamin dalam ekosistem dalam talian negara.

Foto: Bernama

Related Posts

Anwar ketuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN-Rusia

KAZAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia di Kazan, Persekutuan Rusia, selama dua hari bermula esok. Wisma Putra memaklumkan, Perdana…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kebun sekolah bakal diperluas di Sabah tahun depan

Kebun sekolah bakal diperluas di Sabah tahun depan

Hajiji hadir majlis kesyukuran sempena Awal Muharam 1448H

Hajiji hadir majlis kesyukuran sempena Awal Muharam 1448H

Anwar ketuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN-Rusia

Anwar ketuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN-Rusia

Jangan manipulasi fakta!

Jangan manipulasi fakta!

Malaysia, Timor-Leste tingkatkan kerjasama strategik pelbagai sektor – PM

Malaysia, Timor-Leste tingkatkan kerjasama strategik pelbagai sektor – PM

Kehadiran Parti Wawasan Negara jadi pembakar semangat PH – Fahmi

Kehadiran Parti Wawasan Negara jadi pembakar semangat PH – Fahmi