Tiada campur tangan PM dalam pelantikan Pendakwa Raya selepas pindaan Perlembagaan

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri tidak lagi mempunyai sebarang peranan dalam proses pelantikan Pendakwa Raya sebaik Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026 dikuatkuasakan.

Sebaliknya, kuasa melantik jawatan berkenaan adalah di bawah budi bicara Yang di-Pertuan Agong selepas mendapat kelulusan Majlis Raja-Raja, dengan tempoh perkhidmatan ditetapkan selama tujuh tahun.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, pencalonan bagi jawatan itu akan dikemukakan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) yang bertanggungjawab menilai kelayakan calon.

Menurut beliau, individu yang dipertimbangkan tidak boleh terdiri daripada Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri serta perlu mempunyai pengalaman litigasi sekurang-kurangnya 10 tahun.

“Idea asal ialah untuk memisahkan campur tangan politik dalam aspek pelantikan Pendakwa Raya dan sebab inilah kita tidak meletakkan peranan ahli politik, termasuk Perdana Menteri.

“Sebab kita mahu memastikan dia (Pendakwa Raya) berlaku adil ketika menjalankan tugas dan inilah yang menjadi kerisauannya ketika idea memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

“Kita khuatir Pendakwa Raya akan terikut-ikut dengan rentak kelompok tertentu yang menentukan pelantikannya, jika proses berkenaan turut membabitkan Yang Berhormat atau ahli politik,” katanya lapor BH.

Beliau berkata demikian pada sesi taklimat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berhubung RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 di Parlimen, hari ini.

Terdahulu, RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026 yang antara lain memperuntukkan pengasingan fungsi Pendakwa Raya daripada Peguam Negara dibentangkan di Dewan Rakyat.

Pindaan itu turut merangkumi peruntukan berkaitan perlindungan jawatan Pendakwa Raya serta penyelarasan aspek perjawatan kedua-dua posisi berkenaan.

Sementara itu, Azalina menjelaskan tempoh perkhidmatan Pendakwa Raya boleh dilanjutkan, namun ia tidak berlaku secara automatik sebaliknya memerlukan permohonan baharu.

“Pendakwa Raya perlu memohon untuk terus berada di jawatan berkenaan selepas tempoh perjawatannya tamat dan sebab inilah SPKP penting (untuk proses pelantikan Pendakwa Raya).

“Kita tak mahu menjadikan pembaharuan tempoh perjawatan Pendakwa Raya ini secara automatik, sebaliknya individu terbabit perlu memohon bagi tujuan berkenaan supaya SPKP boleh menilai semula (prestasi).

“Ini kerana, selepas tujuh tahun mungkin akan ada personaliti lain yang dimahukan oleh kerajaan semasa,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pengerang berkata, Pendakwa Raya tidak tertakluk kepada kewajipan menjawab di Parlimen kerana jawatan itu bukan bersifat lantikan politik, sebaliknya badan profesional.

“Mengambil contoh, jika Peguam Negara akan datang dilantik dalam kalangan ahli politik, sama ada Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Negara, maka dia ada obligasi untuk menjawab kepada Parlimen,” katanya.

Related Posts

Fahmi seru semua pihak hayati titah Agong, junjung semangat Rukun Negara

KUALA LUMPUR – Semua pihak termasuk ahli politik perlu menghayati dan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang mengingatkan rakyat mengenai kepentingan mengamalkan semangat serta nilai Rukun Negara dalam…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Platform media sosial wajib patuhi undang-undang Malaysia – Fahmi

KUALA LUMPUR – Semua platform media sosial yang beroperasi di Malaysia diwajibkan menghormati dan mematuhi undang-undang negara, khususnya yang melibatkan aspek keselamatan serta perlindungan kanak-kanak dalam persekitaran digital. Menteri Komunikasi,…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kundasang berpotensi sebagai hab benih bawang merah negara

Kundasang berpotensi sebagai hab benih bawang merah negara

UMS perluas potensi sagu sebagai makanan masa depan menerusi pendekatan psikologi dan STEM

UMS perluas potensi sagu sebagai makanan masa depan menerusi pendekatan psikologi dan STEM

Bengkel lilin aromaterapi sempena KAWAN Jerantut dapat sambutan

Bengkel lilin aromaterapi sempena KAWAN Jerantut dapat sambutan

Lelaki OKU mental hilang sejak Sabtu, operasi SAR dilaksana

Lelaki OKU mental hilang sejak Sabtu, operasi SAR dilaksana

Warga emas hilang mencari sarang burung walit belum ditemukan

Warga emas hilang mencari sarang burung walit belum ditemukan

Video viral, dua lelaki disyaki cuba curi kabel Telekom ditahan

Video viral, dua lelaki disyaki cuba curi kabel Telekom ditahan