KUALA LUMPUR – Mana-mana bekas Perdana Menteri yang sudah genap berkhidmat selama 10 tahun tidak lagi boleh dilantik semula ke jawatan itu sekiranya Rang Undang-Undang (RUU) pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri diluluskan dan berkuat kuasa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, cadangan pindaan Perlembagaan itu menetapkan had berdasarkan jumlah keseluruhan tahun seseorang memegang jawatan Perdana Menteri, bukan mengikut bilangan penggal Parlimen.
“Siapa mahu jadi Perdana Menteri (selepas ini), dia tak boleh lebih daripada 10 tahun. Jadi yang mana kita buat dalam pindaan perlembagaan ini, dia juga (mengambil) kira kepada tahun-tahun dia sudah berkhidmat sebagai Perdana Menteri.
“Maknanya juga, ia dikira ke belakang (rekod sebelum ini). Jadi Perdana Menteri yang ada hari ni, kalau katakan PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim), dia menang lagi Pilihan Raya Umum (PRU) yang ke-16, dia nak jadi Perdana Menteri sekali lagi, boleh.
“Tapi kalau dikira dari tahun, dia tinggal (baki) tujuh tahun saja, bukannya mahu bagi dia 10 tahun lagi, tidak. Mungkin Tan Sri Muhyiddin (Yasin), kalau jadi Perdana Menteri lagi sebab dia menang, mungkin dia tinggal lapan tahun. Kemudian, Bera (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) mungkin tinggal sembilan tahun,” katanya lapor BH.
Beliau berkata demikian selepas sesi taklimat berhubung RUU pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta RUU pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri di Dewan Bankuet Parlimen, hari ini.
Taklimat berkenaan turut dihadiri Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang.
Mengulas lanjut, Azalina berkata, pindaan itu adalah sebahagian daripada usaha menunaikan janji manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) lalu. Namun, beliau menegaskan Perlembagaan Persekutuan boleh dipinda semula pada masa hadapan sekiranya kerajaan yang memerintah memiliki sokongan majoriti dua pertiga di Parlimen.
“Perlembagaan boleh dipinda. Kerajaan seterusnya yang mempunyai majoriti dua pertiga boleh meminda undang-undang. Malah tempoh jawatan juga boleh diubah semula dan mereka boleh buat jika mahu Perdana Menteri pada hari ini kekal selama-lamanya.
“Jika kamu mempunyai undi sokongan dua pertiga atau lebih di Parlimen, kamu boleh melakukan apa sahaja terhadap Perlembagaan. Apa kita lakukan, kerajaan ini bersama rakan-rakan gabungan sedang membawa kepada rakyat apa yang kita janjikan dalam manifesto PRU ke-15 lalu.
“Dalam manifesto, ada parti mencadangkan dua penggal, ada parti yang mencadangkan sepuluh tahun. Jadi pada asasnya, kerajaan sedang melaksanakan apa yang sudah dijanjikan atau terkandung dalam manifesto. Tetapi, kerajaan seterusnya dengan majoriti baru, masih boleh mengubahnya. Itu sememangnya prerogatif mereka,” katanya.
Terdahulu, Azalina menjelaskan pindaan dicadangkan hanya membabitkan jawatan Perdana Menteri dan tidak meliputi jawatan Ketua Menteri atau Menteri Besar kerana ia tertakluk kepada bidang kuasa negeri.
Tengah hari tadi, beliau membentangkan dua RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 1) 2026 dan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026 yang masing-masing menyentuh pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri.





