
KOTA KINABALU – Projek pembinaan kampus baharu Institut Aminuddin Baki (IAB) Cawangan Sabah bernilai lebih RM51.29 juta kini berada pada landasan tepat untuk disiapkan mengikut jadual, meskipun dunia berdepan ketidaktentuan rantaian bekalan susulan konflik geopolitik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, berdasarkan taklimat terkini oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak kontraktor, projek itu dijangka siap sepenuhnya pada 27 Ogos depan.
“Lawatan tapak pada petang ini mendapati kemajuan projek adalah memuaskan, dengan skop pembangunan merangkumi blok asrama baharu 100 bilik, sebuah rumah warden Kelas F, dewan makan berkapasiti 230 orang serta gelanggang serbaguna berbumbung, selain kemudahan sokongan lain mengikut spesifikasi ditetapkan.
“Setakat ini, kemajuan projek adalah mengikut jadual. Kita yakin sasaran siap pada Ogos depan dapat dicapai,” katanya kepada wartawan The Malaysia Press semasa lawatan ke Tapak Projek Pembinaan Baharu di Kampus IAB di sini, pada Rabu.

Menurutnya, kerajaan memberi perhatian serius terhadap potensi gangguan rantaian bekalan global, khususnya melibatkan bahan binaan import susulan konflik antarabangsa seperti ketegangan melibatkan Iran dan Amerika Syarikat.
“Hasil analisis awal menunjukkan kebanyakan bahan kritikal projek tidak lagi bergantung kepada import, sekali gus mengurangkan risiko kelewatan.
“Kita bimbang jika ada bahan yang perlu diimport, namun dimaklumkan semua komponen utama termasuk lif telah pun sampai. Kini hanya melibatkan bekalan dalam negara,” tegasnya.

Walaubagaimanapun, Mustapha tidak menafikan kemungkinan berlakunya kekangan bekalan simen tempatan yang boleh memberi kesan kepada kelancaran projek.
“Mungkin ada sedikit kekangan bekalan simen, tetapi saya percaya perkara ini boleh diatasi melalui usaha penyelarasan bersama pihak berkaitan,” ujarnya.
Turut hadir Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab.


