
LAWAS: Seorang lelaki tempatan diberkas polis selepas dipercayai memiliki dadah jenis syabu dalam satu operasi yang dijalankan di kawasan Tebingan Awat-Awat, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan berkata, suspek berusia 47 tahun itu ditahan ketika anggota polis menjalankan rondaan cegah jenayah dan terserempak dengan lelaki berkenaan dalam keadaan mencurigakan.
Menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek cuba melarikan diri, namun berjaya diberkas selepas berlaku sedikit kejar-mengejar.
Menurut beliau, pemeriksaan lanjut ke atas suspek dan barangan miliknya menemukan sebuah beg sandang yang mengandungi tiga paket plastik lutsinar berisi hablur kristal disyaki syabu dengan anggaran berat keseluruhan 5.60 gram.
“Dadah tersebut dipercayai disimpan untuk tujuan tertentu dan polis tidak menolak kemungkinan ia berkaitan dengan aktiviti pengedaran di kawasan sekitar.
“Siasatan awal masih dijalankan bagi mengenal pasti sumber bekalan dadah berkenaan serta rangkaian yang mungkin terlibat,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tambah beliau, ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati suspek negatif daripada sebarang jenis dadah. Semakan rekod lampau juga menunjukkan lelaki tersebut tidak mempunyai rekod jenayah sebelum ini.
Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman berat jika sabit kesalahan.






