NEWCASTLE United meletakkan masa depan Thomas Frank selaku pengurus Tottenham Hotspur dalam bahaya apabila menang 2-1 awal pagi tadi, sekali gus menghadiahkan satu lagi kekalahan memalukan di laman sendiri buat pengendali dari Denmark itu.
Gol sumbangan Jacob Ramsey memastikan hanya kemenangan ketiga liga di tempat lawan musim ini buat The Magpies, sekali gus meredakan tekanan yang sebelum ini memuncak ke atas pengurus mereka, Eddie Howe.
Spurs merudum ke tangga ke-16 Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Frank jelas mendengar suara penyokong tuan rumah yang melaungkan beliau supaya ‘dipecat pagi esok’.
Newcastle gagal menang dalam lima perlawanan terdahulu dan memulakan aksi di tangga ke-12.
Namun dalam pertembungan antara pasukan yang sukar menang di laman sendiri dan kelab yang bergelut di tempat lawan, pelawat tampil lebih dominan sepanjang permainan.
Newcastle menguasai babak pertama dan hampir mendahului apabila Joe Willock memecut melepasi pertahanan sebelum menewaskan Guglielmo Vicario, namun semakan VAR membatalkan jaringan itu kerana ofsaid dengan margin yang amat tipis.
Anak buah Howe tidak perlu menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila Malick Thiaw menyudahkan percubaan kedua selepas tandukan awalnya ditepis Vicario pada masa kecederaan separuh masa pertama.
Menambah derita Tottenham, mereka turut menerima tamparan kecederaan apabila Wilson Odobert terpaksa dikeluarkan sebelum rehat.
Spurs nyata ketandusan kreativiti daripada gerakan terbuka sepanjang musim pertama Frank, namun masih mampu bersandar kepada kekuatan situasi bola mati.
Tuan rumah menyamakan kedudukan menerusi sepakan sudut pertama mereka apabila Archie Gray menolak masuk hantaran tandukan Pape Matar Sarr yang melintasi gawang sejurus selepas sejam permainan.
Namun kedudukan itu hanya bertahan empat minit.
Anthony Gordon diberi terlalu banyak ruang sebelum menghantar bola tepat kepada Ramsey yang melepaskan rembatan leret ke penjuru jauh untuk gol kemenangan.
Kegembiraan Newcastle sedikit tercalar di penghujung aksi apabila kapten Bruno Guimaraes terhincut-hincut keluar akibat kecederaan hamstring yang kelihatan serius, satu tamparan besar buat misi mereka dalam tiga pertandingan.
Newcastle akan bertandang ke Aston Villa bagi pusingan keempat Piala FA Sabtu ini sebelum perjalanan jauh ke Azerbaijan menentang Qarabag pada aksi pertama play-off Liga Juara-Juara minggu depan.






