MINDA TOK ABAH: Kestabilan dan prestasi adalah kemenangan rakyat

MENJELANG Pilihan Raya Umum ke-16, kita sekali lagi disapa oleh naratif yang terasa begitu mesra. Parti mana paling membela bangsa, siapa paling perkasa perjuangkan agama, dan siapa paling tulen membawa suara negeri. Naratif sebegini sentiasa berulang, berputar, dan kerap kali menguasai ruang wacana, seolah-olah masa depan negara hanya boleh ditentukan melalui pertandingan identiti.

Dalam hiruk-pikuk itu wajar kita bertanya dengan jujur, adakah persoalan-persoalan ini benar-benar menjawab kegelisahan hidup rakyat? Hakikatnya, majoriti rakyat tidak bangun pagi dengan memikirkan polemik politik. Mereka bangun dengan memikirkan harga barang di pasar, yuran sekolah anak, bil elektrik, hutang perumahan, dan sama ada duit gaji masih berbaki di hujung bulan. Di ruang inilah ‘politik sebenar’ sedang berlaku. Di dapur, di tempat kerja, di jalan raya, dan di ruang-ruang kecil kehidupan.

Sebab itu, kestabilan politik dan prestasi pentadbiran wajar difahami sebagai kemenangan paling nyata untuk rakyat. Mungkin bunyinya tidak gagah dalam mana-mana slogan atau ruang penerbitan, tetapi kesannya tetap dirasai. Meskipun dalam sepi.

Pengalaman pasca PRU15 memberikan pengajaran penting. Ketika negara melalui episod Parlimen tergantung dan pembentukan kerajaan gabungan yang mengumpulkan parti-parti yang pernah berseteru selama puluhan tahun, ramai menjangkakan ketidaktentuan yang panjang.

Namun, negara perlahan-lahan menemui rentaknya. Pentadbiran berjalan. Dasar diteruskan. Ekonomi menunjukkan tanda-tanda pemulihan. Sektor penting seperti pendidikan kekal berfungsi.

Perlu diingat, meskipun ianya tidak sempurna, tetapi ia tetap bergerak.

Dari situ, kita belajar bahawa kestabilan bukan lahir daripada keseragaman semata-mata, tetapi daripada kesediaan untuk berunding, bertolak ansur dan meletakkan kepentingan negara di hadapan ego politik.

Bagi rakyat kebanyakan, ukuran terhadap kerajaan jarang bersandar kepada siapa paling lantang di pentas ceramah atau paling tangkas di media sosial. Ukuran mereka lebih sederhana, tetapi jauh lebih jujur: adakah hidup terasa lebih ringan, adakah masa depan nampak lebih jelas.

Apabila kerajaan berfungsi, politik identiti mula menjadi neutral dengan sendiri. Bukan kerana isu bangsa, agama atau wilayah tidak penting, tetapi kerana keutamaan rakyat kembali kepada perkara yang lebih mendesak kehidupan seharian, peluang pekerjaan misalnya, kos sara hidup, kemudahan awam dan keselamatan institusi keluarga.

Realiti ini jelas kelihatan menerusi keputusan Pilihan Raya Negeri Sabah baru-baru ini. Isu awam yang dibangkitkan banyak berkisar tentang jalan rosak, isu bekalan air dan elektrik, termasuk liputan internet. Ini tuntutan asas. Tuntutan asas sebegini memerlukan kestabilan politik antara negeri dan persekutuan yang membolehkan perancangan jangka panjang diteruskan tanpa terganggu.

Dalam soal kos sara hidup pula, kestabilan membuka ruang kepada keberanian membuat keputusan sukar. Program BUDI95, yang memastikan subsidi RON95 hanya dinikmati oleh warganegara, telah menutup kebocoran besar yang sekian lama berlaku. Berbilion ringgit yang sebelum ini mengalir tanpa kawalan kini kembali dilindungi untuk rakyat sendiri.

Begitu juga apabila kerajaan meningkatkan peruntukan STR dan SARA kepada RM15 bilion di bawah Belanjawan 2026, memberi manfaat kepada sekitar sembilan juta penerima. Bagi sesetengah orang, angka ini mungkin sekadar statistik. Bagi keluarga di bawah, ia adalah beza antara mampu dan tidak mampu, antara bernafas dan tercekik.

Petanda keyakinan juga dapat dikesan dalam perkara kecil yang nampak mudah tapi sering terlepas pandang, di mana semakin ramai rakyat kembali berani merancang percutian, menyusun kewangan, dan memikirkan hari esok. Ia bukanlah tanda kemewahan melampau, tetapi tanda bahawa keresahan rakyat sudah mula reda.

Dalam erti ini, kestabilan merupakan aset rakyat. Ia adalah dividen yang tidak tertulis. Ia ‘menaikkan lantai’ dengan memastikan yang paling bawah tidak terus terhempas, dan ‘menaikkan siling’ dengan membuka ruang kepada mereka yang mahu memanjat lebih tinggi. Anak-anak muda hari ini juga berbicara tentang survival. Mereka mahu peluang untuk membina hidup tanpa perlu menjadi sebahagian daripada pekerja asing di negara orang.

Namun semua ini rapuh jika ruang awam terus dibanjiri dengan naratif tidak sihat, bahkan besifat ekstrem. Jika majoriti sederhana memilih untuk diam, suara paling bising akan terus kelihatan seolah-olah mewakili semua. Sebab itu, tanggungjawab untuk mempertahankan rasionaliti, kesederhanaan dan kewarasan perlu digalas bersama.

Akhirnya, kemenangan sebenar bukan terletak pada siapa yang paling banyak memenangi kerusi, tetapi pada sejauh mana kehidupan rakyat menjadi lebih manusiawi. Kestabilan melahirkan prestasi. Prestasi melahirkan manfaat. Dan manfaat itulah yang, dalam diam, sedang menyelamatkan sebuah negara.

*Datuk Ismail Yusop ialah Ketua Pengarah
Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM)

Related Posts

HKHM2026 tampil dengan tema ‘Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati’

PUTRAJAYA – Kerajaan menetapkan ‘Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati’ sebagai tema rasmi Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 (HKHM2026), selain mengekalkan logo Malaysia MADANI sebagai identiti rasmi sambutan sehingga tahun…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Karisma dan diplomasi MADANI

Karisma dan diplomasi MADANI

HKHM2026 tampil dengan tema ‘Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati’

HKHM2026 tampil dengan tema ‘Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati’

Jemaah Menteri setuju laksana Hari Bekerja Hibrid mulai 1 Ogos

Jemaah Menteri setuju laksana Hari Bekerja Hibrid mulai 1 Ogos

Fahmi santuni penduduk Batu Pahat, Program JIWA@Komuniti MADANI meriah dengan Sembang Santai

Fahmi santuni penduduk Batu Pahat, Program JIWA@Komuniti MADANI meriah dengan Sembang Santai

157 nelayan Muar terima bantuan RM47,000, LKIM komited perkasa kebajikan dan pendapatan nelayan

157 nelayan Muar terima bantuan RM47,000, LKIM komited perkasa kebajikan dan pendapatan nelayan

GLIC, GLC perkasa agenda Bumiputera, 10 syarikat disasar tersenarai – Fahmi

GLIC, GLC perkasa agenda Bumiputera, 10 syarikat disasar tersenarai – Fahmi