AMANAH hari ini mendesak Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim, menyembah mohon pembubaran dewan undangan negeri (DUN) susulan pertembungan antara eksekutif dan istana yang belum berpenghujung.
Setiausaha Agung Amanah, Faiz Fadzil berkata, keadaan yang berlaku sekarang adalah bertentangan dengan roh dan prinsip Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
“Amanah percaya bahawa pergolakan politik yang gagal diuruskan dengan baik oleh UMNO boleh menggugat kestabilan pentadbiran kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan kepada media.
Amanah turut menyifatkan pergolakan politik yang berlaku sekarang mencapai tahap kronik apabila Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, menarik balik perkenan baginda dan membatalkan perlantikan semua Exco yang baru saja dilantik.
Untuk rekod, Tuanku Muhriz yang dipertikaikan keabsahan baginda sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan membatalkan pelantikan semua Exco berkuat kuasa serta-merta.
Menurut kenyataan dikeluarkan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Azizi Mohamad Ali, keputusan itu dibuat selepas Tuanku Muhriz mendapati semua mereka memungkiri sumpah jawatan masing-masing.
Dia berkata menurut Perkara XXXVIII(5) 1959, seseorang Exco dianggap memegang jawatannya selagi dia diperkenan Yang di-Pertuan Besar.
Ahli-ahli berkenaan masing-masing mengangkat sumpah dan menandatangani ikrar taat setia pada 7 Ogos lalu sebelum dilantik ke dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan.
Mereka berikrar taat setia kepada Yang di-Pertuan Besar dan institusi diraja, bersumpah melindungi dan memelihara kedaulatan perlembagaan Negeri Sembilan, serta mengiktiraf kuasa yang terletak pada Dewan Keadilan dan Undang.
“Mereka memungkiri sumpah ini melalui tindakan dan kenyataan mereka pada 15 Sept.
“Maka dengan demikian, Yang di-Pertuan Besar menarik balik perkenan baginda dan membatalkan pelantikan mereka sebagai ahli majlis mesyuarat Negeri Sembilan, berkuat kuasa serta-merta.
“Setiap individu berkenaan dimaklumkan mengenai pembatalan tersebut melalui warkah,” kata Azizi dalam kenyataan itu.
Faiz berkata, Amanah berpendirian untuk tidak mencampuri kemelut kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan memandangkan urusan tersebut harus diselesaikan mengikut lunas undang-undang, perlembagaan dan adat Negeri Sembilan.
Namun, katanya, susulan pergolakan politik semasa di Negeri Sembilan, Amanah berpandangan PRN Negeri Sembilan ke-16 yang diadakan secara mengejut adalah berpunca daripada desakan pihak-pihak tertentu yang mahu menurunkan Tuanku Muhriz dari takhta.
“Hal ini diperkukuhkan dengan proklamasi yang telah ditandatangani oleh menteri besar sejurus selepas PRN Negeri Sembilan ke-16 berlaku iaitu pada 3 Ogos lalu.
“Situasi politik semasa bertambah meruncing apabila menteri besar menolak titah tersebut secara terbuka.
“Amanah berpendirian bahawa UMNO gagal untuk menghormati kedudukan institusi Raja-Raja Melayu apabila mengambil langkah-langkah menurunkan Tuanku Muhriz dan ia seolah-olah satu tindakan coup d’état (rampasan kuasa).
“Tindakan-tindakan yang diambil UMNO itu jelas bertentangan dengan kehendak rakyat Negeri Sembilan yang mana PRN Negeri Sembilan ke-16 yang lalu tidak langsung bertujuan untuk mengganggu gugat kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan,” katanya.
Hari ini, Ismail berkata, semua Exco kerajaan Negeri Sembilan sedia ada adalah sah dan akan menjalankan tugas masing-masing seperti biasa.
Ismail berkata, tidak ada keperluan mengemukakan senarai Exco yang baru untuk pertimbangan dan perkenan seperti yang dititahkan Tuanku Muhriz.



