KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, di Istana Negeri Sembilan, Changkat Persekutuan, di sini, malam ini.
Anwar tiba di perkarangan istana kira-kira jam 6 petang dan selesai menghadap Tuanku Muhriz selepas hampir satu jam.
Pertemuan itu berlangsung ketika kemelut membabitkan kedudukan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Negeri Sembilan terus menjadi perhatian.
Pada Ahad malam, Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan semua EXCO berkuat kuasa serta-merta.
Menurut kenyataan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali, keputusan berkenaan dibuat selepas mendapati semua EXCO terbabit memungkiri sumpah jawatan masing-masing.
Beliau berkata, berdasarkan Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959, seseorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri memegang jawatan selagi mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar.
Semua EXCO terbabit sebelum ini mengangkat sumpah dan menandatangani ikrar taat setia pada 7 Ogos lalu sebelum dilantik menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Bagaimanapun, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, dalam kenyataan semalam, mengambil pendirian berbeza berhubung perkara itu.
Beliau berkata, sebarang tindakan memberhentikan atau menamatkan keahlian EXCO tanpa nasihat atau permintaan rasmi daripada Menteri Besar adalah tidak sah, tidak berperlembagaan dan tidak mempunyai kuat kuasa undang-undang.
Ismail turut menegaskan beliau tidak pernah dirujuk atau memberikan nasihat berhubung pemberhentian mana-mana EXCO Kerajaan Negeri di bawah Perkara 38(5) UUTKNS 1959.
Susulan itu, beliau berkata tiada keperluan mengemukakan senarai cadangan EXCO baharu kerana barisan EXCO sedia ada masih sah dari sudut undang-undang dan akan terus menjalankan tugas seperti biasa.
Foto: Awani



