
KUALA LUMPUR – Institusi Raja-Raja Melayu perlu terus dihormati dan sebarang tindakan membabitkan kedudukan Raja hendaklah dilakukan mengikut aturan serta undang-undang, kata Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr Ibrahim Ali.
Beliau berkata, perkara itu menjadi intipati penting mesyuarat parti tersebut baru baru ini yang membincangkan kemelut takhta dan adat Negeri Sembilan.
Beliau berkata, Putra tidak mahu mencampuri soal siapa yang betul atau salah dalam kemelut berkenaan, namun menegaskan semua pihak perlu menghormati kedudukan masing-masing serta mematuhi proses yang ditetapkan.
“Saya tidak timbul soal siapa salah, siapa betul. Saya tak nak campur. Yang saya cakap ini ialah bila kita bertindak, biarlah ikut aturan.
“Dalam soal Raja-Raja Melayu ini, tarik rambut, tepung jangan berkecai. Raja kita hormat. Kedudukan Undang kita hormat.
“Mereka juga ada kedudukan, betul. Tetapi cara dan tindak-tanduknya jangan dipolitikkan,” katanya dalam sidang media hari ini.
Ibrahim berkata, Putra memandang serius tindakan berkaitan proklamasi 19 April lalu yang kemudiannya disokong secara sebulat suara oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan.
“Memang dari segi adat ada peraturan, ada undang-undang. Tetapi dalam menurunkan seseorang raja di Negeri Sembilan juga ada undang-undang dan ada peraturan.
“Jadi apa guna ada Penasihat Undang-Undang Negeri? Apa guna?” katanya.
Menurutnya, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan mempunyai saluran untuk mendapatkan nasihat Penasihat Undang-Undang Negeri, manakala Penasihat Undang-Undang Negeri pula boleh mendapatkan pandangan Pejabat Peguam Negara sebelum sesuatu keputusan dilaksanakan.
“Dia ada peraturan, prosedurnya yang patut diikuti. Jadi ini tidak diikuti,” katanya.
Ibrahim berkata, susulan perbincangan itu, Putra memutuskan untuk membuat laporan polis mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan berhubung perkara berkenaan.
Katanya, laporan akan dibuat Setiausaha Agung Putra, Nasrul Ali Hassan, dengan pihaknya berharap polis segera membuka kertas siasatan dan memanggil semua pihak yang berkaitan.
“Kita akan pertahankan keputusan ini dan mendesak supaya polis segera buka kertas siasatan dan panggil semua yang terlibat.
“Bukan sahaja ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri termasuk lain-lain individu untuk disiasat di bawah Seksyen 121,” katanya.
Beliau berkata, pendirian itu selari dengan perjuangan Putra dalam mempertahankan kedudukan Raja-Raja Melayu, selain Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan hak istimewa Melayu.
Dalam pada itu, Ibrahim turut mempersoalkan sama ada tindakan Exco Kerajaan Negeri Sembilan berhubung kemelut berkenaan mendapat restu pimpinan UMNO Pusat.
“Biar mereka jawab. Saya tidak fikir dalam otak saya yang kecil ini bahawa Menteri Besar atau Exco yang membuat keputusan ini, takkan dia tak rujuk kepada pimpinan UMNO Pusat?
“Kalau pimpinan UMNO Pusat larang, kamu jangan buat kerja gila ini. Betullah kita cari jalan yang baik.
“Kita pergi menghadap, kita berunding, kita pujuk Tuanku Muhriz macam mana caranya. Buat cara betul. Bukan cara ajak berperang macam ini,” katanya.


