
PUTRAJAYA – Pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap tender perkhidmatan 1BestariNet Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ketika itu bertepatan pada masanya, berikutan wujud kelompangan besar yang telah membuka dan menjadi laluan ‘utama’ kepada perbuatan rasuah di institusi pendidikan negara.
Penasihat Pertubuhan Amal Pendidikan dan Pembangunan Insan Malaysia (Perapim), Mohamad Nizam Abdul Samar Zammi berkata, ini kerana pihak sekolah terpaksa mencari ‘duit lebih’ bagi membayar sewaan pemancar kepada syarikat YTL Communications Sdn Bhd (Yes 4G), yang dilihat memberi bebanan kepada pihak pentadbiran.
Menurut beliau, ia sesuatu tindakan tidak waras disebabkan tiada keperluan untuk sekolah milik KPM mencari dana bagi membayar sewaan kepada syarikat yang telah dilantik oleh kerajaan persekutuan dalam menyediakan kemudahan internet berkelajuan tinggi kepada pelajar dan murid.
“Di mana sekolah nak cari pendapatan, mesti (bermula) dari Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) namun kena lihat juga kemampuan ibu bapa, ada yang kurang berkemampuan sehingga tidak mampu membayar yuran. Kemudian, apa pengetua atau guru besar akan lakukan, mereka mulalah berurusan dengan pembekal bahan bantu pelajar dengan wujudnya terma diskaun 20 atau 30 peratus.
“Diskaun itu dipulangkan dalam bentuk tunai sama ada pengetua atau guru besar guna pakai untuk poket sendiri atau dijadikan bagi tabung sekolah. Kita bukan menuduh tapi sistem inilah yang menggalakan rasuah. Jadi, apabila sekolah kerajaan nak kena keluarkan bayaran kepada syarikat pemancar, ia adalah satu tindakan tak logik,” katanya ketika dihubungi The Malaysia Press, hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad Nizam menegaskan, teguran terhadap projek terbabit bukanlah perkara baharu susulan teguran dan nasihat telah pun diberikan oleh Ketua Audit Negara pada 2013, selain ramai dalam kalangan wakil rakyat turut menegur tender tersebut seolah-olah sebagai projek ‘gajah putih’ susulan kosnya besar, namun infrastrukturnya tidak mencapai di tahap memuaskan.
Malah, katanya, disebabkan kegagalan syarikat pemancar dalam membekalkan jalur lebar berkelajuan tinggi, guru terpaksa menggunakan internet sendiri bagi memastikan segala program dan aktiviti yang dilakukan di sekolah tidak tergendala.
“Ada yang terpaksa (wayang) guna internet sendiri walaupun pihak kementerian yang datang bagi menunjukkan internet (dibekalkan) itu laju. Ini bukan sahaja berlaku di pedalaman Sabah, malah berlaku di Melaka.
“Perkara itu membuktikan infrastruktur tak bagus dan liputannya lemah sehingga menerima teguran pelbagai pihak. Sehubungan itu, memang wajar tindakan SPRM sebab kita tidak mahu berkenaan ketirisan kewangan negara ada unsur rasuah, Bila melibatkan duit kerajaan, ia seperti juga duit rakyat, apabila wang rakyat sudah keluar sehingga RM4 bilion, kita mahu tengok hasil, khususnya apabila ia melibatkan pelajar sekolah namun terjadi sebaliknya,” katanya.
Sementara itu, Mohamad Nizam yang juga Ketua Eksekutif Yayasan Generasi Malaysia (YGM) memaklumkan, SPRM serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa menjalankan siasatan secara menyeluruh kepada semua pihak terlibat, termasuklah bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Keperluan siasatan dari akar umbi bermulanya projek terbabit, bukan setakat Muhyiddin sahaja. Siapa yang meluluskan projek berkenaan, bagaimana tender tersebut dikeluarkan, itu semua masuk sekali. Kalau tidak bagaimana unsur rasuah (berlaku), yang memberi dan menerima kena bertanggungjawab.
“Apapun, kita serahkan siasatan kepada SPRM dan pihak berkuasa terlibat untuk siasat dan apa tindakan susulannya. Adakah bekas Perdana Menteri akan ditangkap atau masih lagi dilindungi oleh pihak tertentu. Ini semua rakyat nak tahu,” katanya.
Kelmarin, SPRM menyerbu pejabat YTL Communications Sdn Bhd, sebagai sebahagian siasatan terhadap projek yang bermula pada 2011.
Projek itu bermula ketika Muhyiddin menjadi Menteri Pendidikan, di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Muhyiddin berkata, beliau mengalu-alukan siasatan SPRM dijalankan kerana yakin tidak terbabit dalam projek kontroversi itu.





