
KOTA KINABALU – Kerajaan Negeri Sabah tidak berkompromi terhadap sebarang cubaan membawa masuk produk makanan tanpa permit import yang sah, khususnya melibatkan aspek keselamatan makanan dan biosekuriti negeri.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, tindakan pantas Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (DVS Sabah) merampas 27 tan produk ayam sejuk beku tanpa permit import membuktikan komitmen tinggi kerajaan negeri dalam melindungi kepentingan rakyat.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada DVS Sabah atas tindakan pantas, berkesan dan profesional dalam melindungi keselamatan makanan serta kepentingan rakyat Sabah.
“Operasi ini jelas membuktikan ketegasan dan komitmen berterusan Sabah dalam memastikan hanya produk yang mematuhi piawaian dan undang-undang dibenarkan berada di pasaran,” katanya dalam kenyataan media, pada Khamis.
30 Januari lepas, produk bernilai RM268,410 berjaya dirampas hasil pemeriksaan sebuah kontena di Pelabuhan Sepanggar sebelum tindakan susulan diambil di sebuah premis bilik sejuk di Inanam Laut.
Pemeriksaan lanjut mendapati pemilik gagal mengemukakan sebarang permit atau lesen import yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar, sekali gus melanggar peruntukan undang-undang sedia ada.







