
BAU – Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dilaporkan hilang di Kampung Tembawang Sauh, Bau, Sarawak pada Rabu.
Mangsa, Kelvin Martin Beger, disedari hilang oleh ahli keluarga kira-kira jam 1.30 tengah hari ketika ibunya hendak menjemur kain dan mendapati mangsa tidak berada di ruang tamu rumah.
Usaha pencarian awal telah dilakukan di sekitar kawasan rumah namun gagal menemukan mangsa dan laporan dibuat kepada pihak berkuasa selepas itu.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak (JBPM) menerima panggilan kecemasan pada jam 6.15 petang, sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau digerakkan ke lokasi kejadian dan tiba pada jam 7.57 malam semalam, melibatkan jarak perjalanan sejauh 16 kilometer.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, mangsa merupakan pemegang Kad Orang Kurang Upaya (OKU) dan pencarian dilakukan dengan penuh berhati-hati melibatkan pelbagai agensi keselamatan.
“Pasukan SAR telah menjalankan pencarian dalam radius kira-kira tiga kilometer dari lokasi terakhir barangan mangsa ditemui. Namun setakat ini, mangsa masih belum berjaya dikesan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, operasi SAR hari pertama melibatkan seramai sembilan anggota bomba dengan penggunaan dua jentera serta dibantu beberapa agensi lain.

Antara agensi yang terlibat ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan sembilan anggota, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) lima anggota, RELA seramai 10 anggota, serta kira-kira 30 penduduk kampung yang turut membantu pencarian.
“Operasi pencarian masih diteruskan dan akan diperkasakan dari semasa ke semasa bergantung kepada keadaan cuaca serta maklumat baharu yang diterima,” tambah kenyataan itu.
Setakat ini, status mangsa masih belum ditemui, dan pihak berkuasa menyeru orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan agar tampil membantu bagi mempercepatkan usaha pencarian.
Operasi SAR akan diteruskan sehingga makluman selanjutnya.



