
LAHAD DATU – Isu banjir kilat di Lahad Datu yang kerap berlaku bukan perkara kecil sebaliknya semakin membinbangkan dan perlu diberi perhatian kerana memberi kesan langsung kepada kehidupan harian masyarakat.
Demikian dinyatakan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Segama (Gagasan Rakyat), Rajesh Yusof yang menggesa agar penyelesaian tuntas menangani isu ini dibuat pihak berwajib.
“…Dengan sekian banyaknya rumah dinaiki air, perniagaan kecil terganggu, jalan terputus, anak-anak tidak dapat bersekolah dan sebagainya.
“Apatah lagi kejadian banjir yang terkini agak dahsyat apabila ada kereta dan rumah yang dihanyutkan arus selain terlihat kelibat buaya berenang di kawasan banjir…visual yang sangat menyeramkan,” katanya menerusi Facebook miliknya, pada Jumaat.
Jelas Rajesh, Gagasan Rakyat Segama telah berhubung dengan pihak berkuasa agar menyegerakan bantuan kepada mangsa yang terlibat. Bagaimanapun, ia hanya bersifat sementara kerana punca banjir kilat belum ditangani dengan sebaiknya.
Beliau menyeru siasatan hidrologi yang menyeluruh bagi menilai punca sebenar banjir kilat termasuk keupayaan sistem saliran sedia ada perlu dilaksanakan selain mencadangkan beberapa langkah perlu mengekang kejadian sama berulang.
Antaranya menaiktaraf sistem saliran di kawasan berisiko tinggi, termasuk pembesaran kapasiti longkang, parit dan ‘culvert’.
“Pembersihan dan penyelenggaraan berkala saliran bagi mengelakkan sumbatan kelodak, sampah atau tumbuhan liar dan pengawalan limpahan sungai melalui kerja mendalamkan, meluruskan atau memperkukuh tebing sungai di lokasi kritikal terutamanya Sungai Segama.
“Pemantauan tapak pembangunan dan kerja tanah supaya tidak menghalang aliran air atau memburukkan risiko banjir juga perlu dilaksanakan selain penglibatan masyarakat setempat termasuk kempen kesedaran serta saluran aduan pantas untuk melaporkan masalah saliran,” katanya.
Tegasnya, Gagasan Rakyat Segama meletakkan penyelesaian masalah banjir kilat sebagai keutamaan dengan memastikan cadangan tersebut dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.




