MELAKA – Kerajaan negeri Melaka merancang untuk memperkenalkan menu pada harga RM10 sempena program Melaka Bila Larut Malam (MBLM) bermula Oktober ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menjelaskan pihaknya amat menggalakkan peniaga kedai makan untuk mengolah menu tersendiri di premis mereka bagi menyertai kempen berkenaan.
“Kita menggalakkan semua pemilik restoran, gerai-gerai untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri iaitu kita akan mempromosikan menu RM10 ini sebagai ikon untuk datang ke Melaka sempena MBLM.
“Jadi terserah kepada pihak kedai untuk mengolah menu RM10 ini macam mana,” katanya.
Program MBLM dilaksanakan pada setiap Sabtu minggu pertama setiap bulan dengan beberapa kawasan pelancongan menawarkan tiket masuk pada harga serendah RM10.






