
KALABAKAN – Polis menahan seorang ibu tunggal dipercayai ‘tokan’ dadah dan merampas syabu bernilai RM6,000 di sebuah rumah di Kampung Brantian di sini, pada Selasa lepas.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, wanita berumur 35 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Tawau semasa serbuan OPS Tapis.
“Semasa serbuan, suspek dilihat dalam keadaan mencurigakan di ruang tamu rumah sebelum menyerahkan sebuah beg mengandungi 20 peket plastik lut sinar berlainan saiz disyaki mengandungi syabu dengan anggaran berat 6.01 gram.
“Hasil saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, suspek kini direman untuk siasatan di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) Akta yang sama.






