
PUTRAJAYA – Cadangan membenarkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) digunakan bagi membayar premium pelan insurans atau takaful kesihatan perubatan asas (MHIT) disifatkan tidak bersesuaian kerana berpotensi melemahkan jaminan persaraan rakyat.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Mohd Khalib berkata, jaminan persaraan tidak wajar ditukar dengan perlindungan kesihatan berikutan KWSP diwujudkan bagi melindungi rakyat Malaysia daripada kemiskinan pada usia tua.
Menurut beliau, pengeluaran KWSP juga dilihat boleh melebarkan jurang ketidaksamaan dan tidak wajar dijadikan sumber pembiayaan untuk eksperimen pembiayaan kesihatan.
“Membenarkan potongan premium MHIT daripada simpanan KWSP boleh mewujudkan rasa perlindungan palsu, sedangkan pada masa sama ia secara senyap memburukkan krisis persaraan yang sedia ada.
“Menggunakan simpanan KWSP untuk membayar premium MHIT adalah tindakan sementara yang mencipta masalah jangka panjang yang lebih besar.
“Kita tidak seharusnya menyelesaikan masalah penjagaan kesihatan dengan mengorbankan masa depan kewangan rakyat,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Isnin.
Dalam pada itu, Azrul berkata, penanda aras KWSP bagi simpanan asas serta mencukupi untuk persaraan adalah pada RM390,000 dan RM650,000 bukan bersifat statik, selain dijangka meningkat susulan tekanan kos sara hidup.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2023 mendedahkan 51 peratus ahli KWSP atau 6.7 juta pencarum di bawah usia 55 tahun mempunyai simpanan kurang RM10,000, manakala setakat Ogos 2024 angka itu masih tinggi iaitu 33 peratus.

“Keadaan ini menunjukkan jaminan persaraan negara berada pada tahap rapuh dan lemah. Kita perlu ingat kesan pengeluaran i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra sebelum ini yang menyebabkan semakin ramai golongan berpendapatan rendah mempunyai simpanan KWSP tidak mencukupi untuk persaraan.
“Walaupun cadangan itu dilihat pragmatik dengan membenarkan rakyat menggunakan simpanan sendiri untuk mendapatkan perlindungan kesihatan, hakikatnya insurans kesihatan bukan perbelanjaan sekali sahaja kerana premium akan meningkat dari semasa ke semasa,” katanya.
“Penggunaan simpanan KWSP untuk membayar premium MHIT juga berisiko memberi kelebihan kepada mereka yang mempunyai baki simpanan tinggi, manakala golongan berpendapatan rendah akan terus terbeban dengan bayaran premium berterusan,” katanya.
Sementara itu, Azrul turut mempersoalkan rasional cadangan itu memandangkan laporan tahunan Bank Negara Malaysia (BNM) 2024 menunjukkan peratusan rakyat yang sukar menyediakan RM1,000 bagi kecemasan meningkat daripada 47 peratus pada 2021 kepada 61 peratus pada 2024.
“Malaysia memerlukan pembiayaan kesihatan yang mampan dan kawalan kos yang serius, bukannya menyelesaikan isu kemampuan rawatan dengan menjejaskan jaminan persaraan rakyat.
Terdahulu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan sedang berbincang dengan KWSP bagi membolehkan pencarum menggunakan dana persaraan untuk membayar MHIT Asas.
Beliau memaklumkan, ketika ini KWSP membenarkan pencarum menggunakan Akaun Sejahtera (Akaun 2) bagi mendapatkan perlindungan i-Lindung bagi penyakit kritikal.







