NUNUKAN – Kemunculan kenderaan taktikal Tentera Darat Malaysia (TDM) di Desa Long Bawan, Kecamatan Krayan, Nunukan, Kalimantan Utara mencetuskan pertanyaan dalam kalangan masyarakat setempat.
Kehadiran kenderaan itu dilihat sebagai aneh berikutan isu sempadan Indonesia–Malaysia melibatkan tiga kampung sedang heboh diperkatakan, lapor Tribun Pekanbaru.
Kenderaan menggunakan nombor pendaftaran ZC 6735 dipercayai memasuki wilayah Republik Indonesia, sekali gus menimbulkan spekulasi awam berhubung kemasukan aset ketenteraan asing di kawasan sensitif tersebut.
Bagaimanapun, Ketua Pentadbiran Daerah Krayan, Roni Firdaus menjelaskan kehadiran kenderaan TDM di wilayah itu adalah dengan kebenaran pihak berkuasa Indonesia dan tidak melibatkan sebarang operasi ketenteraan.
Menurutnya, pergerakan kenderaan itu adalah semata-mata bagi tujuan logistik dan memperoleh kelulusan rasmi daripada pihak berkaitan.
“Ia adalah aktiviti operasi mereka. Di kawasan sempadan juga terdapat Pos Gabungan Malaysia.
“Justeru, pergerakan itu dibenarkan dan segala urusan pentadbiran telah melalui Pasukan Petugas Pengamanan Sempadan yang berpangkalan di Teluk Midang,” jelasnya baru-baru ini.
Penjelasan itu sekali gus menafikan dakwaan kemunculan kenderaan tentera Malaysia melibatkan pelanggaran kedaulatan wilayah Indonesia.







