
LEMBAGA Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengesan seramai 14,858 pemastautin cukai Malaysia yang mempunyai akaun kewangan di luar negara dengan jumlah baki melebihi RM10 bilion, namun tidak membuat pelaporan cukai melalui Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP).
Menurut LHDN, pengesanan tersebut dibuat melalui mekanisme pertukaran maklumat akaun kewangan antarabangsa yang melibatkan kerjasama lebih 100 negara, selaras dengan usaha memperkukuh pematuhan cukai serta membanteras pelarian cukai rentas sempadan.
Akaun kewangan luar negara yang dikenal pasti itu melibatkan beberapa negara dan wilayah kewangan antarabangsa termasuk Luxembourg, Hong Kong, Guernsey, Kepulauan Cayman, Bahamas dan Bermuda.
“LHDN telah menghantar peringatan kepada pemastautin cukai berkenaan sebagai pendekatan galakan pematuhan secara sukarela, di samping memberi ruang untuk membuat semakan dan pengisytiharan pendapatan sebelum sebarang tindakan penguatkuasaan dilaksanakan,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, LHDN menasihati pemastautin cukai Malaysia yang mempunyai pendapatan belum dilaporkan supaya tampil secara sukarela bagi mengelakkan penalti dan tindakan undang-undang di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.
“LHDN komited untuk terus mentadbir sistem percukaian negara secara telus, berintegriti dan profesional, selaras dengan piawaian percukaian antarabangsa.
“Dengan pendekatan berstrategi dan kerjasama semua pihak, LHDN akan terus memperkukuh tadbir urus percukaian negara demi kepentingan rakyat dan pembangunan negara,” katanya.





