
CADANGAN kerajaan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri wajar dilaksanakan bagi memastikan tadbir urus negara kekal kukuh serta mengelakkan penumpuan kuasa terlalu lama kepada seorang individu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Beliau berkata, prinsip bahawa tiada sesiapa boleh kekal berkuasa selama-lamanya menjadi asas kepada langkah berkenaan, selain memastikan peluang kepimpinan dapat dibuka kepada lebih ramai individu berkeupayaan.
Menurutnya, Malaysia yang mempunyai lebih 34 juta penduduk memiliki ramai pemimpin berpotensi dan negara perlu memastikan kuasa tidak tertumpu terlalu lama kepada seorang individu.
“Saya boleh katakan bahawa tiada siapa yang tidak boleh diganti. Di Malaysia, dengan 34 juta penduduk, terdapat ramai individu yang berkeupayaan.
“Jika seseorang itu pemimpin yang hebat, beliau perlu meninggalkan pelan (untuk mencari) pengganti,” katanya lapor BH.
Azalina berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Sesi Dialog Awam Pengehadan Tempoh Jawatan Perdana Menteri di sini, hari ini.
Beliau menegaskan, rang undang-undang yang dicadangkan itu bukan bertujuan menyekat mana-mana individu tertentu, sebaliknya untuk memperkukuh tadbir urus dan mencegah penyalahgunaan kuasa.
“Ia bukan soal mengehadkan seseorang. Ia mengenai tidak membenarkan sesiapa menyalahgunakan kuasa. Ia mengenai seseorang yang beranggapan dirinya ‘tidak boleh disentuh’ dan boleh terus berkuasa selama-lamanya. Itulah mesejnya,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, mana-mana pemimpin yang sudah berundur daripada jawatan masih boleh menyumbang kepada negara dalam kapasiti yang berbeza.
“Ia bukan kerana individu itu buruk atau jawatan itu tidak baik, tetapi kita mahu mengelakkan keburukan. Kita mahu memastikan orang seterusnya dapat tampil memimpin.
“Saya harap semua orang faham bahawa ini bukan soal tidak mempercayai sesiapa, tetapi lebih kepada hakikat bahawa jawatan itu sangat berkuasa,” katanya.





