
SEMUA pihak yang mempunyai maklumat berkaitan ketirisan melibatkan penjawat awam digesa supaya tampil menyalurkan maklumat tersebut kepada pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, gesaan itu selaras dengan penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menuntut ketegasan dalam kalangan penjawat awam, khususnya mereka yang mengendalikan badan pengawasan.
“Signal daripada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dalam sesi perhimpunan semalam, penjawat awam khusus yang mengendali badan-badan pengawasan perlu lebih tegas dan sekiranya ada maklumat yang disampaikan maka tindakan perlu diambil.
“Itu signal daripada Perdana Menteri, jadi sesiapa yang mempunyai maklumat sebaik mungkin bertemu dengan pihak berkuasa supaya tindakan dapat diambil.
“Kita tahu, baru-baru ini ada sama ada tokoh-tokoh korporat ataupun orang politik. Bila maklumat sampai kepada pihak berkuasa, maka tindakan diambil,” katanya lapor BuletinTV3.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri sesi perjumpaan bersama Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) di ibu negara, hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi menasihatkan orang ramai agar tidak menggunakan media sosial bagi mendedahkan dakwaan salah guna kuasa atau ketirisan, sebaliknya menyalurkan maklumat melalui saluran yang betul bagi memastikan proses keadilan dapat dilaksanakan secara berhemah.
“Media sosial kadang-kadang cerita dia separuh jalan, jadi saya rasa kita patut berlaku adil sekiranya berlaku apa-apa salah guna kuasa ataupun masalah-masalah macam itu kita lalui proses supaya maklumat tepat dapat disampaikan.
“Sekiranya ada bukti boleh dihadapkan ke mahkamah, itulah bagi saya konsep keadilan yang perlu kita tegakkan,” ujarnya.
Semalam, Perdana Menteri memberi tempoh seminggu kepada pengurusan tertinggi badan penguat kuasa untuk menyatakan kesediaan mereka memikul amanah dan tanggungjawab dalam usaha menangani isu rasuah, penyelewengan serta salah guna kuasa.
Anwar menegaskan, amaran keras itu dikeluarkan susulan masih terdapat kelompongan dan kelemahan yang perlu diperbaiki oleh pihak terlibat bagi memastikan integriti serta keberkesanan penguatkuasaan undang-undang terus terpelihara.





