
KUCHING – Sarawak bersedia melakukan anjakan paradigma dalam landskap digital global dengan beralih kepada infrastruktur ‘AI Grid’ (grid kecerdasan buatan) berbanding penggunaan pusat data fizikal menjelang lima tahun akan datang.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, evolusi teknologi AI yang terlalu pantas menuntut negeri ini menukar strategi penyimpanan data kepada pangkalan awan (cloud) yang disokong oleh teknologi satelit nano di ruang orbit.
Menurut beliau, pusat data konvensional bukan sahaja akan lapuk tidak lama lagi, malah operasi sistem tersebut menelan tenaga elektrik yang terlampau besar.
“Sebagai contoh, jika sebuah pusat data menggunakan tenaga 100 Megawatt, adalah lebih baik tenaga itu digunakan untuk menghasilkan aluminium kerana industri berat seperti itu mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat,” katanya ketika merasmikan persidangan Protect Sarawak 2026 pada Rabu.
Sarawak kini sedang meneliti langkah untuk mengadaptasi model ‘AI Grid’ yang telah pun mula dibangunkan di negara-negara Kesatuan Eropah (EU).
Menyentuh soal keselamatan, Abang Johari memberi amaran bahawa kelajuan pemindahan data masa kini turut mendedahkan isyarat antara bumi dan satelit kepada risiko dipintas oleh penjenayah siber.

Tegasnya, pemahaman mendalam tentang taktik musuh adalah kunci utama perlindungan data, ibarat perumpamaan “memerlukan pencuri untuk menangkap pencuri”.
Oleh itu, Sarawak mengambil inisiatif proaktif dengan menawarkan pendidikan percuma kepada anak watan bagi melahirkan saintis dan pakar yang mampu membina teknologi keselamatan buatan sendiri.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Purple Door (M) Sdn Bhd, Marsy Sebban dalam ucap tamanya menegaskan masyarakat hari ini bukan lagi sekadar bersedia menghadapi risiko digital, sebaliknya sudah pun hidup di dalam ancaman tersebut.
“Data pada hari ini bukan lagi sekadar disimpan di dalam sistem, tetapi ia mula membentuk identiti institusi dan mengawal ekonomi dunia.
“Oleh itu, kepercayaan digital (digital trust) tidak boleh lagi dipandang remeh. Ia mesti dibina secara sengaja dan menyeluruh di setiap peringkat jabatan, bukan sekadar diletakkan di bawah tanggungjawab satu jabatan IT sahaja,” tegasnya.

Justeru, persidangan Protect Sarawak 2026 menggerakkan komitmen jangka panjang dengan pelbagai agensi termasuk Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) dan CyberSecurity Malaysia (CSM).
Langkah strategik tersebut bermatlamat untuk merealisasikan wawasan Premier Sarawak melahirkan 10,000 ahli teknologi tempatan yang berkemahiran tinggi dalam mendepani cabaran keselamatan data masa hadapan.



