
SIBU – Kemajuan pesat yang dicapai Sarawak hari ini hasil daripada semangat perpaduan dan saling menghormati dalam kalangan rakyat berbilang kaum. Keharmonian ini membolehkan masyarakat bekerjasama dalam membangunkan negeri sekaligus menjadikan Sarawak sebagai contoh kestabilan sosial dan kemajuan yang mampan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Sim Kui Hian berkata rakyat yang hidup dalam kerjasama dan saling menghormati antara satu sama lain menjadi tonggak utama bagi pembangunan negeri serta kestabilan politik dan sosial.
“Di Sarawak, kita tidak meraikan perayaan mengikut kaum semata-mata. Tahun Baharu Cina, Gawai, Hari Raya dan Krismas diraikan bersama tanpa mengira latar belakang. Kita makan bersama, berkongsi kegembiraan dan pulang sebagai satu keluarga besar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menyalakan Lampu Tanglung sempena Ambang Tahun Baharu Cina yang berlangsung di Pasar Sentral Sibu pada Rabu.
“Jika kita kekal bersatu dan mengekalkan keharmonian ini, lima tahun akan datang Sarawak mampu mencapai tahap pembangunan yang lebih tinggi. Di tempat lain, konflik dan perpecahan menjadi penghalang kemajuan namun di Sarawak kita memilih untuk bekerjasama dan bergerak ke hadapan,” jelasnya lagi.
Kejayaan Sarawak hari ini mencerminkan hasil kerjasama erat rakyat berbilang kaum yang hidup dalam harmoni dan saling menghormati. Perpaduan ini bukan sahaja menjadi asas kepada kestabilan sosial malah menjadi tunjang kepada pembangunan mampan negeri pada masa hadapan.
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)







