
KERAJAAN MADANI terus mempergiat usaha menyelesaikan baki tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) apabila 16 tuntutan masih berada pada peringkat rundingan, manakala 13 tuntutan setakat ini telah berjaya diselesaikan melibatkan pelbagai aspek pentadbiran, perundangan dan fiskal Sabah serta Sarawak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, daripada baki tuntutan berkenaan, satu dikategorikan sebagai selesai secara sebahagian atau interim, manakala dua lagi telah mencapai keputusan dasar.
Menurut beliau, lapan tuntutan lain masih dalam perbincangan, manakala lima tuntutan lagi dirujuk untuk perbincangan pada peringkat tertinggi.
“Kerajaan MADANI akan terus memastikan pelaksanaan MA63 dilaksanakan secara berhemah, inklusif dan berteraskan semangat Persekutuan Malaysia,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Matbali Musah (GRS-Sipitang) mengenai manfaat langsung yang dijangka dirasai oleh rakyat Sabah dan Sarawak hasil penambahbaikan struktur pelaksanaan MA63.
Mengulas tempoh masa penyelesaian baki tuntutan berkenaan, Mustapha berkata perkara itu tertakluk kepada beberapa faktor utama, termasuk perbezaan tafsiran undang-undang antara pelbagai pihak yang terlibat serta keperluan melalui proses perundangan yang mengambil tempoh panjang.
Beliau berkata, setakat ini sebanyak 13 tuntutan MA63 telah berjaya diselesaikan, antaranya pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Sabah dan Sarawak, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak serta Jabatan Bekalan Air Negeri Sabah sebagai Jabatan Teknik di bawah Arahan Perbendaharaan 182 (AP182).
Selain itu, tuntutan lain yang telah diselesaikan termasuk pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) 1995 bagi melantik wakil kerajaan negeri Sabah dan Sarawak sebagai anggota tetap, penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas di Sabah bagi tujuan penjanaan tenaga elektrik, pentadbiran badan kehakiman di Sabah dan Sarawak, serta pindaan Ordinan Buruh Sabah dan Ordinan Buruh Sarawak.
Mustapha berkata, komitmen Kerajaan MADANI dalam memartabatkan hak Sabah dan Sarawak terbukti menerusi keberanian kerajaan melaksanakan pembaharuan struktur, termasuk penubuhan Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi mempercepatkan proses rundingan dan penyelesaian tuntutan.
Beliau berkata, kesungguhan kerajaan turut dizahirkan melalui sokongan fiskal yang signifikan apabila belanjawan pembangunan 2026 menyaksikan peningkatan peruntukan masing-masing sebanyak RM6.9 bilion kepada Sabah dan RM6 bilion kepada Sarawak.







