
KOTA KINABALU – Pemantauan berterusan dan perhatian serius perlu diberikan bagi memastikan kebersihan kemudahan awam terutamanya tandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sentiasa berada pada tahap terbaik.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai berkata, walaupun pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh pihak pengurusan lapangan terbang, aspek pemantauan harian kekal sebagai elemen paling penting bagi menjamin kebersihan tandas sentiasa dijaga.
“Yang paling penting ialah pemantauan. Kita mahu petugas yang ditugaskan sentiasa berada di setiap tandas supaya tindakan segera dapat diambil apabila berlaku keadaan basah atau kurang bersih.
“Kita tidak mahu ada tanggapan boleh menimbulkan persepsi negatif, sedangkan ada keadaan di mana gambar aduan dirakam pada waktu itu sahaja, selepas itu sudah dibersihkan, jadi yang penting adalah pemantauan,” katanya kepada media selepas meninjau fasiliti awam termasuk tandas di KKIA semasa membuat lawatan kerjanya, di sini pada Khamis.
Jelasnya, semua mesti dalam tahap yang baik sama ada dari segi lampu, tempat letak kenderaan, tempat duduk yang mencukupi dan sebagainya.
“Jadi ini melibatkan banyak pihak bukan Malaysia Airport sahaja tetapi Kastam, Imigresen dan sebagainya.
“Saya percaya tindakan akan diambil untuk menyelesaikannya, tujuan kita pada hari ini ialah bukanlah untuk mencari kesalahan sesiapa.
“Ianya lebih bertujuan untuk mengetahui apa tindakan-tindakan yang telah diambil dan apa yang akan diambil lagi untuk memastikan fasiliti di airport ini termasuk tandas pada tahap yang terbaik,” ujarnya.






