
KUALA LUMPUR – Larangan pembelian minyak masak paket bersubsidi oleh bukan warganegara akan berkuatkuasa bermula 1 Mac ini, selaras dengan usaha memperkukuh tadbir urus subsidi serta memastikan manfaatnya disalurkan sepenuhnya kepada rakyat Malaysia.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pelaksanaan larangan itu akan diperkasakan melalui penggunaan aplikasi mudah alih eCOSS, yang merekodkan transaksi jual beli secara digital sepanjang rantaian pengagihan sehingga ke peringkat pengguna akhir.
“Aplikasi ini bukan sahaja meningkatkan ketelusan dalam pengurusan subsidi, malah membolehkan pelaksanaan larangan secara berkesan kerana sistem hanya membenarkan pembelian oleh warganegara yang disahkan melalui integrasi dengan maklumat kad pengenalan.

“Sebelum ini terdapat banyak gesaan agar pembelian minyak masak subsidi oleh warga asing diharamkan, namun pihak peruncit membangkitkan cabaran dari sudut mekanisme pelaksanaan, termasuk kaedah pemantauan dan penguatkuasaan.
“Dengan adanya sistem eCOSS yang bersepadu, peruncit dan penguat kuasa kini mempunyai kaedah praktikal untuk memastikan larangan ini dilaksanakan secara menyeluruh dan konsisten,” katanya ketika menjawab soalan MQT Dewan Rakyat mengenai minyak masak eCOSS di Parlimen, pada Khamis.
Sehubungan itu, KPDN akan mewartakan peraturan larangan tersebut melalui Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan yang akan digubal di bawah Seksyen 6, Akta Kawalan Bekalan 1961.
Tambahnya, peruntukan undang-undang itu akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara sebelum dikuatkuasakan mulai 1 Mac 2026.
“Langkah ini dijangka dapat mengekang ketirisan subsidi, mengurangkan penyalahgunaan, serta memastikan bekalan minyak masak paket bersubsidi kekal mencukupi dan mampu diakses oleh golongan sasar, khususnya isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana di seluruh negara,” ujarnya.


