KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan meminta orang ramai untuk membaca kenyataan penuhnya di Parlimen berhubung isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), pada Selasa.
Zulkifli berkata, orang ramai perlu bersikap bertabayyun dalam mendapatkan maklumat tepat dan merujuk kepada sumber sahih sebelum membuat sebarang spekulasi terhadap sesuatu isu.
“Saya menjemput semua termasuk ahli-ahli Parlimen dan seluruh anggota masyarakat untuk merujuk dan meneliti dengan jujur jawapan penuh bertulis di Parlimen.
“Saya menegaskan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menolak normalisasi LGBT kerana bercanggah dengan agama, moral dan nilai masyarakat,” katanya menerusi kenyataan, pada Rabu.
Terdahulu, Zulkifli menerima kritikan daripada pengguna sosial media susulan jawapan bertulisnya di Parlimen mengenai isu tekanan kerja mungkin menjadi antara punca yang mendorong seseorang individu terbabit LGBT.
Kenyataan itu dikeluarkan bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen PN Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff yang meminta Perdana Menteri memberikan data dan statistik terkini mengenai trend berkaitan isu LGBT di Malaysia, termasuk pecahan peratusan dan kumpulan umur yang terbabit, serta komposisi etnik berdasarkan kajian nasional atau laporan agensi berkaitan, serta faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan kes LGBT di negara ini.
Jawapan penuh Menteri boleh dilihat di sini: https://www.parlimen.gov.my/jawapan-lisan-dr.html?uweb=dr





