Lonjakan pembangunan Maludam, BDDA salur RM49.4 Juta

BETONG – Sebanyak RM49.4 juta diperuntukkan bagi melaksanakan enam projek pembangunan utama di kawasan Maludam di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA), sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh infrastruktur asas serta meningkatkan kesejahteraan rakyat luar bandar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, peruntukan berkenaan melibatkan projek mitigasi banjir, sistem saliran dan perparitan, kemudahan komuniti serta penempatan semula penduduk yang terjejas akibat hakisan pantai.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Projek BDDA yang diadakan di Pejabat Residen Bahagian Betong, bagi membincangkan status pelaksanaan projek pembangunan serta perancangan strategik di kawasan Maludam.

Menurut beliau, projek terbesar melibatkan Projek Mitigasi Banjir Maludam dengan peruntukan RM40 juta yang akan dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Ibu Pejabat Sarawak. Projek tersebut kini berada di peringkat reka bentuk dan dijangka ditender pada suku keempat tahun 2026.

Selain itu, Projek Sistem Saliran dan Perparitan bernilai RM7 juta yang juga dikendalikan oleh DID Sarawak kini menunggu kelulusan tapak dengan reka bentuk telah siap dan dijangka ditender dalam tempoh yang sama.

Dalam aspek kemudahan komuniti, pembinaan Dataran Kebudayaan Maludam bernilai RM1 juta yang dilaksanakan oleh Majlis Daerah Betong kini sedang giat dijalankan dan dijangka siap pada Jun 2026, sekali gus menyediakan ruang aktiviti sosial dan kebudayaan kepada masyarakat setempat.

Turut dirancang ialah pembinaan Balai Raya JKKK Kampung Triso serta Balai Raya Pembangunan Wanita dan Ibu Triso, masing-masing dengan peruntukan RM700,000. Kedua-dua projek yang akan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Betong kini berada di peringkat kelulusan tapak dan reka bentuk, dengan anggaran tender pada suku kedua 2026.

Mesyuarat berkenaan turut membincangkan projek pemindahan enam buah rumah keluarga mangsa hakisan pantai di Tanjung Riong, Maludam yang kini berada di peringkat kelulusan tapak dan reka bentuk serta dijangka ditender pada suku kedua 2026.

Dayang Noorazah menegaskan bahawa kerjasama erat antara agensi pelaksana, pihak berkuasa tempatan dan kepimpinan masyarakat amat penting bagi memastikan setiap projek dapat dilaksanakan secara teratur, berkesan dan memberi impak maksimum kepada rakyat.

“Perancangan pembangunan yang tersusun serta pemantauan berterusan perlu diberi keutamaan supaya manfaat pembangunan dapat dinikmati secara menyeluruh oleh penduduk setempat,” katanya.

Beliau turut menyambut baik komitmen semua pihak yang terlibat dan berharap agar segala inisiatif pembangunan di bawah BDDA dapat dilaksanakan dengan lancar demi merancakkan pertumbuhan ekonomi, memperkukuh infrastruktur asas serta meningkatkan kualiti hidup rakyat di Bahagian Betong.

Related Posts

Hasrat penduduk kampung miliki Masjid sendiri sejak 40 tahun jadi kenyataan

TAWAU – Pembinaan Masjid Al-Ghafur menjadi titik bersejarah buat penduduk Kampung Kinabutan Bukit, di sini, apabila masjid berkenaan menjadi pusat ibadah dan aktiviti keagamaan komuniti setempat. Pengerusi Masjid Al-Ghafur, Sukianto…

Lebih lanjut

teruskan membaca
JPBD Tawau isytihar tamat bencana banjir, PPS ditutup

TAWAU – Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tawau mengisytiharkan penamatan bencana banjir di daerah ini selepas keadaan di semua kawasan yang terjejas disahkan pulih sepenuhnya. Pengerusinya, Mohd Shoffian Mohd Said…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Hasrat penduduk kampung miliki Masjid sendiri sejak 40 tahun jadi kenyataan

Hasrat penduduk kampung miliki Masjid sendiri sejak 40 tahun jadi kenyataan

JPBD Tawau isytihar tamat bencana banjir, PPS ditutup

JPBD Tawau isytihar tamat bencana banjir, PPS ditutup

Memorial Muzium KD Hang Tuah, bakal ikon pelancongan maritim Perak

Memorial Muzium KD Hang Tuah, bakal ikon pelancongan maritim Perak

Pekerja kilang papan gempar jumpa bom tangan, nota ugutan

Pekerja kilang papan gempar jumpa bom tangan, nota ugutan

RS-2 terus agenda sifar miskin tegar Selangor

RS-2 terus agenda sifar miskin tegar Selangor

MAHA Pahang 2026 pecah rekod, dihadiri lebih 200,000 pengunjung

MAHA Pahang 2026 pecah rekod, dihadiri lebih 200,000 pengunjung