
KRISIS dalaman Perikatan Nasional (PN) yang membabitkan Bersatu dan Pas didakwa semakin meruncing susulan pelaksanaan Qunut Nazilah oleh Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail, apabila pelbagai perkembangan politik memperlihatkan perbalahan terbuka, campur tangan dalaman parti serta perebutan jawatan utama dalam gabungan itu.
Pemerhati politik, Ahmad Mursi menyifatkan, keadaan dalam PN sebagai semakin ‘hancur’ selepas Qunut Nazilah berkenaan apabila tercetus rentetan krisis melibatkan kepimpinan tertinggi Bersatu dan Pas, termasuk desakan perubahan kepemimpinan, pemecatan ahli parti serta konflik terbuka di peringkat negeri.
“Sejak Qunut Nazilah dibaca, krisis dalam PN dilihat bukan sahaja gagal reda, malah semakin parah dan terbuka. Apa yang berlaku selepas itu menunjukkan perpecahan dalaman yang serius,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Menurut beliau, antara perkembangan yang mencetuskan ketegangan ialah desakan sebahagian Ketua Bahagian Bersatu supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Presiden dan digantikan Datuk Seri Hamzah Zainudin, selain dakwaan campur tangan Pas dalam urusan dalaman Bersatu bagi mencatur perubahan kepimpinan parti itu.
Ahmad Mursi turut merujuk pemecatan beberapa tokoh Bersatu termasuk Wan Faysal Wan Ahmad Kamal, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Datuk Seri Saifuddin Abdullah, selain kemelut politik di Perlis yang menyaksikan tindakan ‘tebok atap’ melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas sendiri.
Beliau mendakwa krisis di Perlis turut membawa kepada pertukaran Menteri Besar daripada Pas kepada Bersatu susulan dakwaan salah laku tuntutan palsu, pemecatan tiga ADUN Pas atas alasan ‘terhenti keahlian’, serta ketegangan hubungan Pas–Bersatu sehingga timbul ugutan untuk memutuskan kerjasama dan menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) dengan UMNO.
“Keadaan di Perlis menjadi simbol kepada keretakan hubungan dalam PN apabila isu dalaman parti dibawa ke tahap pentadbiran negeri,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata pimpinan Pemuda Pas turut mengeluarkan amaran keras terhadap Bersatu supaya keluar daripada PN, manakala Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, dilaporkan menuduh Bersatu mengkhianati Pas di Perlis, walaupun dakwaan itu dinafikan Ketua Dewan Ulama Pas Perlis dan Muhyiddin sendiri.
Ahmad Mursi berkata krisis berkenaan semakin meruncing apabila wujud perebutan jawatan Pengerusi PN, sekali gus membawa kepada tindakan Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN bersama Setiausaha Agung, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta beberapa Pengerusi PN negeri.
Mengulas perkara itu dari sudut keagamaan, beliau merujuk pandangan Dr Abdul Basit yang menasihatkan agar umat Islam tidak melampau dalam berdoa kerana doa berbentuk laknat boleh ‘berpatah balik’ kepada diri sendiri jika tidak kena pada tempatnya.
“Telah sabit dalam hadis sahih bahawa doa laknat akan kembali kepada orang yang melaknat sekiranya individu yang dilaknat itu tidak layak,” katanya sambil menegaskan bahawa sikap melampau (ghuluw) dalam beragama merupakan satu penyakit besar.
Dalam konteks itu, beliau mengaitkan krisis berkenaan dengan pengajaran wasatiyyah seperti yang dihuraikan oleh Dr Yusuf Al-Qaradawi, yang menegaskan bahawa Islam ialah manhaj pertengahan dalam setiap aspek kehidupan.
Ahmad Mursi menegaskan, krisis politik yang melanda PN wajar dijadikan pengajaran agar pendekatan kesederhanaan dan kebijaksanaan diutamakan, khususnya apabila melibatkan isu agama dan kepentingan awam.


