Tanah rizab Melayu terjejas pembangunan di Semenyih akan diganti – PM

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberi jaminan bahawa sebarang pengambilan tanah rizab Melayu bagi tujuan pembangunan di Semenyih tidak akan menyebabkan kehilangan kekal, sebaliknya akan diganti dengan tanah rizab lain yang setara.

Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan telah menerima jaminan rasmi daripada Kerajaan Negeri Selangor bahawa tanah gantian akan disediakan bagi semua tanah rizab Melayu yang terjejas akibat pelaksanaan projek pembangunan infrastruktur.

“Saya tidak akan berkompromi mengenai tanah rizab Melayu. Jika tanah rizab Melayu perlu diambil untuk pembangunan, seperti pembinaan jalan, ia mesti diganti.

“Inilah jaminan daripada Menteri Besar Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Peluncuran Pembangunan Prasarana Awam Semenyih di Kampung Sungai Pening, di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh; serta Pengasas KHK Land, Tan Sri Kong Hon Kong.

Menurut Anwar, pembangunan prasarana awam yang dirancang di kawasan itu bertujuan mempercepatkan pertumbuhan setempat dan meningkatkan kesejahteraan penduduk, termasuk pembinaan Laluan Pintas Semenyih serta penyediaan 100,000 lot perkuburan Islam yang memerlukan perancangan teliti kerana melibatkan tanah rizab.

“Projek seperti ini, apabila diselesaikan melalui kompromi, memberi manfaat terus kepada masyarakat. Ia sering membabit kawasan sensitif, termasuk tanah rizab Melayu.
“Tetapi saya bersyukur kerana dalam proses ini, kita dapat menangani isu berkaitan tanah perkuburan dan pembangunan,” katanya.

Beliau berkata, keperluan pembinaan lot perkuburan baharu menjadi semakin mendesak berikutan kekurangan kemudahan sedia ada di Kuala Lumpur, sekali gus memerlukan lokasi alternatif yang sesuai.

“Anggaran jumlah kematian dalam lima tahun akan datang dijangka melebihi 3,000 orang setahun.

“Ini menimbulkan keperluan mendesak untuk menyediakan ruang tambahan kerana kemudahan sedia ada di Wilayah Persekutuan tidak mampu menampung permintaan.

“Kita menganggarkan baki lot perkuburan di Kuala Lumpur hanya mencukupi untuk sekitar tiga tahun, paling lama empat tahun sahaja.

“Disebabkan itu, projek ini dipercepatkan. Selepas siap, ia akan memenuhi keperluan jangka panjang bandar ini.

“Sekitar 100,000 lot perkuburan akan dibina. Saya percaya Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan memastikan perancangan dibuat dengan baik, termasuk akses dan pengurusan laluan, supaya pengguna tidak terganggu,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata Projek Laluan Pintas Semenyih merupakan hasil kerjasama strategik antara KHK Land dan Kerajaan Persekutuan yang berfungsi sebagai pemacu utama pembangunan infrastruktur di kawasan tersebut.

Laluan sepanjang 4.3 kilometer dengan empat lorong itu akan menghubungkan Semenyih ke Lebuhraya SILK serta enam lebuh raya utama lain, termasuk LEKAS dan CKE.

Projek berkenaan dijangka dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas tempatan secara signifikan selain memendekkan masa perjalanan ke Kuala Lumpur daripada 45 minit kepada sekitar 20 minit.

Selain berfungsi sebagai laluan mobiliti, pembangunan itu turut mencerminkan pendekatan pembangunan inklusif yang menyasarkan pertumbuhan ekonomi mampan serta peningkatan kesejahteraan sosial jangka panjang penduduk setempat.

Dijadualkan siap pada 2027, Laluan Pintas Semenyih dijangka memainkan peranan penting dalam memperkukuh jaringan perhubungan, menyokong pertumbuhan seimbang dan meningkatkan kualiti hidup komuniti di Semenyih.

Related Posts

Anwar puji tindakan AKPS sita kontena disyaki bawa dagangan ke Israel

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen Malaysia untuk memastikan negara tidak dijadikan laluan perdagangan yang boleh menyumbang kepada kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin. Beliau berkata,…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Siasatan RCI TH tanpa kompromi, yang bersalah akan dikenakan tindakan – PM

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan melaksanakan siasatan terhadap dapatan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) secara tuntas tanpa sebarang kompromi, selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Anwar puji tindakan AKPS sita kontena disyaki bawa dagangan ke Israel

Anwar puji tindakan AKPS sita kontena disyaki bawa dagangan ke Israel

Siasatan RCI TH tanpa kompromi, yang bersalah akan dikenakan tindakan – PM

Siasatan RCI TH tanpa kompromi, yang bersalah akan dikenakan tindakan – PM

Cuti sementara Nurul Izzah tidak jejas PKR – Fahmi

Cuti sementara Nurul Izzah tidak jejas PKR – Fahmi

Negara Arab banyak hancur kerana ekstremis, Malaysia jangan ulang kesilapan sama – Syeikh Wazir

Negara Arab banyak hancur kerana ekstremis, Malaysia jangan ulang kesilapan sama – Syeikh Wazir

Sebelum sepenggal, PMX berjaya letak Malaysia jadi 30 ekonomi terbesar dunia

Sebelum sepenggal, PMX berjaya letak Malaysia jadi 30 ekonomi terbesar dunia

Dua penjenayah mati ditembak, polis selamatkan mangsa culik

Dua penjenayah mati ditembak, polis selamatkan mangsa culik