
KANGAR — Perlis berpotensi menerima pelaburan sehingga RM500 juta dalam sektor tenaga bersih, setelah lawatan strategik delegasi Zonergy Corporation dari China bagi meneroka peluang pembangunan industri tenaga dan rantaian bekalan termasuk kajian kebolehlaksanaan penubuhan kilang Sistem Penyimpanan tenaga bateri (BESS).
Lawatan tersebut berlangsung dari semalam hingga hari ini turut melibatkan Western Power Clean Energy (WPCE) dan rakan tempatan, Northern Solar Ventures Sdn. Bhd. (NSV), sebagai sebahagian daripada program libat urus strategik bersama kerajaan negeri dan agensi berkaitan.
Presiden Zonergy Corporation, Xu Hongchan, berkata Perlis menawarkan peluang yang menarik bagi pembangunan industri tenaga bersih, termasuk dari segi lokasi strategik, infrastruktur dan keselarasan pihak berkepentingan.
“Lawatan ini merupakan langkah penting untuk menilai bagaimana Zonergy boleh menyumbang kepada peralihan tenaga Malaysia melalui pembuatan setempat dan perkongsian jangka panjang. Kami menghargai kemudahan serta kerjasama kukuh daripada Kerajaan Negeri Perlis melalui PKENPs,” katanya.
Lawatan itu dijayakan oleh Kerajaan Negeri Perlis menerusi Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) dengan penglibatan beberapa agensi utama termasuk Bahagian Pembangunan Ekonomi Negeri, Pihak Berkuasa Koridor Utara (NCIA), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perlis Inland Port (PIP).
Pengurus Besar PKENPs, Datuk Md Silmi Abd Rahman berkata, pihaknya mengalu-alukan minat Zonergy terhadap pembangunan industri di Lembah Chuping yang berpotensi menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
Menurutnya, inisiatif itu dijangka mengukuhkan ekosistem industri Perlis serta memberi impak ekonomi positif melalui penjanaan pekerjaan, pembangunan kemahiran dan penyertaan vendor tempatan.
Sepanjang lawatan tersebut, delegasi mengadakan siri kunjungan hormat rasmi dan sesi taklimat teknikal bersama pihak berkepentingan utama negeri, selain melakukan lawatan tapak ke Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) dan Perlis Inland Port (PIP).
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail turut berkenan menerima menghadap delegasi Zonergy Corporation dan WPCE bersama rakan tempatan mereka, Northern Solar Ventures Sdn. Bhd.
Zonergy Corporation merupakan syarikat peneraju tenaga dan perkhidmatan smart microgrid berpangkalan di China dengan kepakaran dalam tenaga solar serta penyimpanan tenaga, termasuk teknologi bateri natrium-ion (Na-ion) yang semakin mendapat perhatian global bagi menyokong kestabilan grid dan integrasi tenaga boleh diperbaharui.
Selain membekalkan komponen, Zonergy turut menawarkan penyelesaian bersepadu hujung-ke-hujung dan telah memperoleh pensijilan jenis TÜV SÜD bagi sel bateri natrium-ion 70Ah, sekali gus mengukuhkan aspek keselamatan dan kesediaan teknologi untuk aplikasi industri.
Tertakluk kepada skop akhir, kelulusan dan struktur pelaksanaan, pembangunan berfasa platform pemasangan dan pembuatan BESS berteknologi tinggi itu berpotensi mewujudkan sebanyak 421 peluang pekerjaan merentasi segmen industri, komersial dan perumahan.
Penyimpanan tenaga kini dilihat sebagai elemen penting dalam penstabilan grid dan menyokong peningkatan penembusan tenaga boleh diperbaharui, menjadikan pembangunan BESS sebagai segmen strategik yang selari dengan keutamaan peralihan tenaga negara.





