PUTRAJAYA – Transformasi audit yang dilaksana Jabatan Audit Negara (JAN) perlu memberikan maklumat bernilai kepada rakyat serta mempermudah akses kepada maklumat awam serta tata kelola, bukan sekadar berperanan memeriksa angka.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, MCW menyokong sepenuhnya usaha mempertingkatkan integriti institusi kerajaan, seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, pengukuhan peranan JAN bukan hanya dilihat dalam konteks teknikal audit semata-mata, tetapi sebagai suatu pemangkin kepada kepercayaan awam yang lebih tinggi terhadap kerajaan.
“MCW menyambut baik amanat disampaikan Perdana Menteri bahawa JAN perlu mencari kaedah baharu dalam pelaksanaan audit, terutamanya mendekatkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat tanpa membebankan, serta menghasilkan laporan lebih cepat, tepat dan berimpak tinggi.
“Kami percaya inisiatif itu selaras dengan aspirasi rakyat untuk melihat sebuah sistem tadbir urus yang bersih, cekap dan telus serta mencerminkan semangat reformasi institusi kerajaan yang menjadi teras kepada perkhidmatan awam berkualiti,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Selasa.
Dalam pada itu, Jais berpandangan, langkah mengambil pendekatan baharu seperti penggunaan teknologi, analitik data dan audit berasaskan risiko akan mempercepat penemuan, memperkukuh ketelusan dan menjadikan audit lebih responsif terhadap perubahan persekitaran pentadbiran.
Menurutnya, peranan JAN sebagai pemantau bebas sektor awam penting dalam mencegah pembaziran, ketirisan dan salah guna kuasa selain perlu melibatkan lebih banyak pemegang taruh, termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dalam membentuk ekosistem integriti lebih kukuh.

“Laporan audit yang disediakan bukan sekadar untuk laporan dalaman kerajaan tetapi harus dijadikan asas kepada penambahbaikan dasar serta diperkukuhkan dengan mekanisme tindakan susulan yang jelas.
“Kami yakin pelaksanaan amanat ini dengan penuh komitmen akan membawa kepada perkhidmatan awam yang lebih efektif, telus dan pro-rakyat, sekali gus menyumbang kepada agenda Malaysia MADANI yang kita semua dambakan,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri pada Isnin menegaskan, JAN perlu merancang dan melaksanakan ikhtiar baharu termasuk menubuhkan pasukan khas supaya sistem pengauditan lebih berkesan, pantas serta tidak membebankan rakyat,
Anwar menegaskan, audit perlu diteruskan berorientasikan impak maksimum dan bukan sekadar menjadi rutin tanpa hasil yang memanfaatkan rakyat.
Walaupun sistem pengauditan telus dan baik, beliau berkata, prosesnya mesti disegerakan kerana kelewatan boleh membuka ruang kepada ketirisan.



