
KOTA KINABALU – Pelantikan sebagai Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai satu amanah besar yang perlu digalas dengan penuh tanggungjawab, khususnya dalam memperjuangkan kepentingan rakyat Sabah.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, sebagai orang baharu dalam politik PKR, keutamaan beliau adalah melaksanakan amanah sebaik mungkin serta membawa lebih banyak perkara positif untuk Negeri Sabah
“Landskap politik semasa menuntut pendekatan yang lebih berteraskan keperluan rakyat dengan penekanan kepada bantuan dan bimbingan berbanding amalan politik.
“Dalam senario politik hari ini, masyarakat memerlukan lebih banyak sokongan.
“Saya berharap pelantikan ini membolehkan saya menyuarakan isu berkaitan agihan peruntukan serta pembelaan golongan petani, penternak dan nelayan,” katanya semasa sidang media selepas berucap di Majlis Amanat Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan di Dewan Wisma Pertanian Sabah pada Isnin.
Mengulas lanjut mengenai kehadiran ke Kongres Nasional PKR di Melaka pada Jun nanti, Datuk Jamawi mengesahkan akan hadir dan bekerjasama dengan pimpinan negeri Sabah.
“Saya telah dijemput dan akan bekerjasama dengan pimpinan Datuk Mustapha Sakmud di peringkat negeri Sabah.
“Saya juga menghargai kongres yang telah ditetapkan oleh pucuk pimpinan pusat,” ujarnya.







