PUTRAJAYA – Tiada warganegara Malaysia yang dilaporkan setakat ini terkesan akibat kejadian tanah runtuh di Jawa Barat, Indonesia yang berlaku, pada Sabtu.
Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) mengesahkan pihaknya sedang memantau rapat perkembangan operasi mencari dan menyelamat yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa Republik Indonesia.
Pada masa sama, Wisma Putra juga menegaskan keselamatan warganegara Malaysia di kawasan terjejas sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap insiden melibatkan bencana di luar negara.
“Kementerian ini mengesahkan bahawa setakat ini, tiada warganegara Malaysia dilaporkan terkesan akibat insiden in
“Kementerian Luar Negeri, melalui Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, sedang memantau rapat perkembangan operasi mencari dan menyelamat yang sedang dilaksanakan oleh pihak berkuasa Republik Indonesia.
“Ia susulan kejadian tanah runtuh di Kampung Pasir Kuning, Desa Pasirlangu, Kecamatan Cisarua, Kabupaten Bandung Barat, pada 24 Januari 2026,” katanya menerusi kenyataan media, pada Ahad.
Wisma Putra juga menegaskan keselamatan warganegara Malaysia di kawasan terjejas sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap insiden melibatkan bencana di luar negara.
Setakat jam 10 malam tadi, kejadian berkenaan dilaporkan telah mengorbankan 10 nyawa, manakala 81 mangsa masih dikhuatiri hilang.
Dalam pada itu, pihak Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta telah menghubungi wakil pelajar serta warganegara Malaysia yang berdaftar di Bandung Barat bagi memastikan keadaan mereka selamat.
“Kementerian Luar Negeri merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada anggota keluarga mangsa yang terlibat dan mendoakan agar usaha mencari dan menyelamat yang sedang digerakkan oleh pihak berkuasa Republik Indonesia dipermudahkan,” katanya.
Terdahulu, agensi cuaca Indonesia sebelum ini mengeluarkan amaran awal mengenai cuaca ekstrem termasuk hujan lebat yang dijangka berlarutan selama seminggu, sekali gus meningkatkan risiko tanah runtuh terutamanya di kawasan tanah tinggi.
Media antarabangsa melaporkan tragedi di Bandung Barat ini merupakan kejadian tanah runtuh kedua yang berlaku di pulau Jawa dalam tempoh lebih dua bulan, susulan insiden di Cibeunying pada 13 November tahun lalu yang mengorbankan 11 orang selepas hujan lebat berpanjangan.
Operasi menyelamat dijangka berdepan cabaran berikutan keadaan tanah yang tidak stabil serta risiko runtuhan susulan, namun pasukan penyelamat terus digerakkan bagi meminimumkan kehilangan nyawa.





