Kebimbangan Sultan Pahang isu pemberian taraf PR mempunyai asas

KUANTAN – Proses pemberian taraf penduduk tetap (PR) oleh kerajaan tidak sepatutnya dipermudahkan atau dibuat sambil lewa memandangkan perkara itu membabitkan soal keselamatan dan kedaulatan negara.

Perkara ini juga tidak sewajarnya dijadikan bahan politik oleh pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan sehingga boleh mencetuskan persoalan mengenai tahap kesetiaan penerima taraf PR berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Lantikan) Pahang, Datuk Ahmad Irshadi Abdullah Al-Qari berkata, kebimbangan disuarakan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah adalah berasas memandang tercetus isu susulan beberapa insiden membabitkan penerima taraf PR dikeluarkan kerajaan sebelum ini.

“Status atau taraf PR ini bukan sekadar berkaitan dengan pentadbiran atau dokumen rasmi, sebaliknya ia adalah satu ikrar taat setia kepada Raja dan Negara yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab.

“Mana-mana individu yang diberikan taraf PR wajib menghormati Perlembagaan Persekutuan, menjunjung institusi Raja-Raja Melayu, mematuhi undang-undang negara serta menunjukkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada Malaysia,” katanya.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah ketika bertitah merasmikan Wacana Belia Diraja pagi tadi, menzahirkan kebimbangan berkenaan pemberian taraf PR dan kewarganegaraan di negara ini.

Baginda bertitah, perkara itu adalah lambang kepercayaan tertinggi negara kepada individu terbabit.

“Dalam menyentuh perihal kedaulatan negara, ada beberapa isu perlu dilihat dan membimbangkan, antaranya adalah berkaitan pemberian taraf penduduk tetap dan kewarganegaraan.

“Ini bukan sekadar isu pentadbiran, tetapi menyentuh amanah, integriti, keadilan, serta maruah sebuah bangsa yang berdaulat.

“Ketahuilah bahawa kewarganegaraan bukan sekeping dokumen dan bukan sekadar pengiktirafan undang-undang… ia adalah ikrar kesetiaan, sumpah setia kepada raja dan tanah air.

“Malah janji untuk mempertahankan maruah bangsa, serta kedaulatan negara ini hingga ke titisan nafas yang terakhir,” titahnya.

Mengulas lanjut berkaitan isu itu, Ahmad Irshadi menegaskan, kegagalan individu yang menerima taraf PR untuk mematuhi prinsip berkenaan wajar diberi perhatian serius dan dipertimbangkan semula.

Ini kerana, katanya, status PR mempunyai implikasi langsung terhadap keharmonian masyarakat dan keselamatan negara.

Beliau dalam pada itu menjelaskan, Bahasa Malaysia juga wajar ditekankan sebagai elemen penting jati diri nasional yang perlu dihormati dan dimartabatkan oleh semua pihak.

“Bahasa Malaysia tidak seharusnya menjadi sekadar pilihan, tetapi ia adalah bahasa kebangsaan yang menjadi simbol perpaduan rakyat Malaysia.

“Menghormatinya adalah bukti kecintaan kepada negara dan kesediaan untuk hidup sebagai rakyat yang setia serta bertanggungjawab,” jelasnya.

Ahmad Irshadi turut mengingatkan, penghormatan terhadap bahasa kebangsaan dan institusi negara adalah asas penting dalam memastikan keharmonian dan kestabilan Malaysia dapat terus terpelihara.

Related Posts

Perjuangan hak MA63 perlu sokongan padu rakyat Sarawak – Adam Yii

MIRI – Majlis penutupan Gawai ‘Ngiling Tikai’ di Kampung Pujut Corner B pada Ahad menjadi platform memperkukuh perpaduan dan kesedaran masyarakat mengenai perjuangan hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Program Bakti Belia MADANI Sarawak pupuk semangat kesukarelawanan

MUKAH – Program Bakti Belia MADANI Peringkat Sarawak 2026 melabuhkan tirai secara rasmi dalam satu majlis penutup di Dewan Serbaguna, Kampung Tellian Laut pada Ahad. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Penurunan harga diesel bukti kerajaan tangkas ringankan beban rakyat

Penurunan harga diesel bukti kerajaan tangkas ringankan beban rakyat

Kerajaan Negeri komited perkukuh pembangunan bola sepak di Sabah – Azrul

Kerajaan Negeri komited perkukuh pembangunan bola sepak di Sabah – Azrul

Perjuangan hak MA63 perlu sokongan padu rakyat Sarawak – Adam Yii

Perjuangan hak MA63 perlu sokongan padu rakyat Sarawak – Adam Yii

Program Bakti Belia MADANI Sarawak pupuk semangat kesukarelawanan

Program Bakti Belia MADANI Sarawak pupuk semangat kesukarelawanan

Perjanjian Petronas di Turkmenistan, Rusia bukti kehebatan diplomatik Malaysia di peringkat global

Perjanjian Petronas di Turkmenistan, Rusia bukti kehebatan diplomatik Malaysia di peringkat global

Dakwaan kebocoran data peribadi tular hanya insiden lama, tiada kaitan platform semasa

Dakwaan kebocoran data peribadi tular hanya insiden lama, tiada kaitan platform semasa