Kebimbangan Sultan Pahang isu pemberian taraf PR mempunyai asas

KUANTAN – Proses pemberian taraf penduduk tetap (PR) oleh kerajaan tidak sepatutnya dipermudahkan atau dibuat sambil lewa memandangkan perkara itu membabitkan soal keselamatan dan kedaulatan negara.

Perkara ini juga tidak sewajarnya dijadikan bahan politik oleh pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan sehingga boleh mencetuskan persoalan mengenai tahap kesetiaan penerima taraf PR berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Lantikan) Pahang, Datuk Ahmad Irshadi Abdullah Al-Qari berkata, kebimbangan disuarakan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah adalah berasas memandang tercetus isu susulan beberapa insiden membabitkan penerima taraf PR dikeluarkan kerajaan sebelum ini.

“Status atau taraf PR ini bukan sekadar berkaitan dengan pentadbiran atau dokumen rasmi, sebaliknya ia adalah satu ikrar taat setia kepada Raja dan Negara yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab.

“Mana-mana individu yang diberikan taraf PR wajib menghormati Perlembagaan Persekutuan, menjunjung institusi Raja-Raja Melayu, mematuhi undang-undang negara serta menunjukkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada Malaysia,” katanya.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah ketika bertitah merasmikan Wacana Belia Diraja pagi tadi, menzahirkan kebimbangan berkenaan pemberian taraf PR dan kewarganegaraan di negara ini.

Baginda bertitah, perkara itu adalah lambang kepercayaan tertinggi negara kepada individu terbabit.

“Dalam menyentuh perihal kedaulatan negara, ada beberapa isu perlu dilihat dan membimbangkan, antaranya adalah berkaitan pemberian taraf penduduk tetap dan kewarganegaraan.

“Ini bukan sekadar isu pentadbiran, tetapi menyentuh amanah, integriti, keadilan, serta maruah sebuah bangsa yang berdaulat.

“Ketahuilah bahawa kewarganegaraan bukan sekeping dokumen dan bukan sekadar pengiktirafan undang-undang… ia adalah ikrar kesetiaan, sumpah setia kepada raja dan tanah air.

“Malah janji untuk mempertahankan maruah bangsa, serta kedaulatan negara ini hingga ke titisan nafas yang terakhir,” titahnya.

Mengulas lanjut berkaitan isu itu, Ahmad Irshadi menegaskan, kegagalan individu yang menerima taraf PR untuk mematuhi prinsip berkenaan wajar diberi perhatian serius dan dipertimbangkan semula.

Ini kerana, katanya, status PR mempunyai implikasi langsung terhadap keharmonian masyarakat dan keselamatan negara.

Beliau dalam pada itu menjelaskan, Bahasa Malaysia juga wajar ditekankan sebagai elemen penting jati diri nasional yang perlu dihormati dan dimartabatkan oleh semua pihak.

“Bahasa Malaysia tidak seharusnya menjadi sekadar pilihan, tetapi ia adalah bahasa kebangsaan yang menjadi simbol perpaduan rakyat Malaysia.

“Menghormatinya adalah bukti kecintaan kepada negara dan kesediaan untuk hidup sebagai rakyat yang setia serta bertanggungjawab,” jelasnya.

Ahmad Irshadi turut mengingatkan, penghormatan terhadap bahasa kebangsaan dan institusi negara adalah asas penting dalam memastikan keharmonian dan kestabilan Malaysia dapat terus terpelihara.

Related Posts

RM80,000 perkasa peluang ekonomi komuniti OKU Perak

IPOH – Sebanyak RM80,000 diperuntukkan bagi melaksanakan tujuh projek menerusi Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat Perak Sejahtera 2030 Tahun 2026, dalam usaha memperkasa komuniti Orang Kurang Upaya…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Lima anak Perak ke Kazakhstan, timba ilmu agroekonomi bertaraf antarabangsa

IPOH – Lima anak Perak bakal membawa nama negeri ke persada antarabangsa apabila terpilih mengikuti Program Ijazah Dual Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)–Kazakh National Agrarian Research University (KazNARU) selama…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Harimau Malaya tumbang 0-2 di tangan Vietnam

Harimau Malaya tumbang 0-2 di tangan Vietnam

Kerajaan akan pinda Akta Tabung Haji, mansuh AUKU sepenuhnya – Anwar

Kerajaan akan pinda Akta Tabung Haji, mansuh AUKU sepenuhnya – Anwar

Stabiliti politik penting untuk kesinambungan pembangunan ekonomi – Tian Chua

Stabiliti politik penting untuk kesinambungan pembangunan ekonomi – Tian Chua

Akar umbi yakin PKR terus perkukuh demokrasi, kepemimpinan parti

Akar umbi yakin PKR terus perkukuh demokrasi, kepemimpinan parti

AUKU langkah ke hadapan, kemenangan besar mahasiswa – Taufiq Johari

AUKU langkah ke hadapan, kemenangan besar mahasiswa – Taufiq Johari

RM80,000 perkasa peluang ekonomi komuniti OKU Perak

RM80,000 perkasa peluang ekonomi komuniti OKU Perak