
KUCHING – Polis Diraja Malaysia mengesahkan siasatan berhubung kes kematian sepasang suami isteri di Sri Aman kini dianggap selesai dan tidak melibatkan individu luar.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah memaklumkan, kesimpulan tersebut dibuat berdasarkan analisis saintifik ke atas bahan bukti di lokasi kejadian.
“Hasil siasatan mendapati senjata yang ditemukan hanya mempunyai kesan DNA kedua-dua mangsa sahaja tanpa ada profil DNA asing.
“Selain itu, pemeriksaan di tempat kejadian tidak menunjukkan sebarang tanda pecah rumah atau kehilangan barangan berharga milik keluarga. Ini menguatkan kesimpulan kejadian hanya melibatkan pasangan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Jumaat bagi mengulas perkembangan kes yang mendapat perhatian ramai itu.
Faktor kemurungan
Mengulas mengenai motif, Mohamad Zainal mendedahkan berdasarkan keterangan saksi, mangsa lelaki yang merupakan seorang guru besar dipercayai mengalami tekanan perasaan.
“Saksi-saksi menyatakan mangsa mengalami kemurungan sejak ditukarkan bertugas ke Lubok Antu. Bagaimanapun, kita masih menunggu laporan forensik digital ke atas telefon bimbit kedua-dua mangsa untuk mengenal pasti motif yang lebih terperinci.
“Setakat ini, kes belum diklasifikasikan sebagai NFA (Tiada Tindakan Lanjut) kerana prosedur teknikal forensik masih berjalan,” jelas beliau lagi.
Gempur aktiviti haram
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan komitmen PDRM Sarawak dalam memerangi aktiviti pengedaran dadah yang menunjukkan peningkatan ketara pada tahun lalu.
Katanya, pihak polis kini sedang memantau rapat kumpulan-kumpulan tertentu dan tindakan tegas di bawah undang-undang pencegahan sedang diambil bagi melumpuhkan rantaian aktiviti haram tersebut.





