
KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memberi tumpuan isu Lemon Law yang tuntutan tebus rugi pengguna sekali gus dibentangkan di Parlimen pada tahun ini.
Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, penggubalan peruntukan berkaitan Lemon Law bertujuan memperkukuh mekanisme penyelesaian pertikaian dan tuntutan tebus rugi yang lebih terperinci, khususnya membabitkan pembelian kenderaan baharu.
“Sebenarnya kita sudah ada undang-undang sedia ada bukannya tidak ada langsung tetapi ada kelompangan yang perlu kita tangani.
“Isu ini penting tetapi untuk memastikan pendekatan terbaik termasuklah penerimaan daripada industri serta melihat amalan terbaik oleh beberapa negara yang memiliki akta berkaitan,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat Tahun Baharu 2026 KPDN di Putrajaya, semalam..
Selain Lemon Law, Armizan berkata, KPDN turut menyasarkan pindaan Akta Persaingan 2010 dan Akta Suruhanjaya Persaingan 2010 bagi memperkasa penyiasatan serta penguatkuasaan terhadap kartel dan monopoli bermasalah yang menjejaskan pengguna.
“Kedua-dua akta ini dijangka dibentangkan untuk bacaan pertama pada hujung persidangan Parlimen kali ini,” katanya.
Menyentuh cabaran transaksi digital, Armizan berkata, penggubalan atau penambahbaikan undang-undang berkaitan e-dagang melalui Akta Perdagangan Elektronik 2006 turut menjadi sebahagian daripada agenda reformasi bagi meningkatkan akauntabiliti platform dan perlindungan pengguna.
“Kita melihat apakah bentuk kawal selia yang kita perlu lakukan supaya Kepentingan pengguna itu dapat kita lindungi mereka yang membeli di platform e-dagang terjamin, barang yang dibeli itu, sampai sebagaimana kualiti dan kuantiti yang ditetapkan,” katanya.
Armizan berkata, kementerian juga merancang meminda Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993 bagi membanteras penipuan serta eksploitasi pengguna, selain memastikan industri berkembang secara beretika dan mampan.
Turut dirancang ialah penggubalan Undang-Undang Harta Alih Kepentingan Bercagar bagi mewujudkan sistem pendaftaran kepentingan bercagar ke atas harta alih sebagai cagaran pinjaman, sekali gus memberi kejelasan dan keselamatan kepada pengguna serta pemberi pinjaman.








