
ARAU – UMNO Perlis belum menutup pintu terhadap sebarang bentuk kerjasama politik bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), meskipun pendirian semasa akar umbi parti di negeri itu mahu bergerak secara solo.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Rozabil Abd. Rahman berkata, terdapat pihak yang menghubunginya untuk mengadakan pertemuan berkaitan kerjasama, namun perkara itu masih terlalu awal untuk dibincangkan.
“Ada pihak hubungi saya hendak jumpa (kerjasama) tapi masih terlalu awal dan pendirian UMNO Perlis ketika ini bergerak sendiri dalam PRU16, itu kehendak ahli parti.
“Dalam konteks Perlis, kita tidak ada perbincangan dengan mana-mana parti termasuk Perikatan Nasional (PN),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Arau di Dewan Sivik di sini kelmarin.
Menurut Rozabil, pendirian untuk bergerak solo itu merupakan kehendak majoriti ahli dan akar umbi UMNO Perlis, manakala keputusan mengenai sebarang bentuk kerjasama politik akhirnya terserah kepada pucuk kepemimpinan tertinggi parti.
Katanya, UMNO Perlis ketika ini memberi tumpuan memperkukuhkan gerak kerja parti di kesemua 15 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tiga Parlimen di negeri itu.
“Memandangkan kita tidak ada sebarang kerusi dalam pilihan raya lepas, maka kita turun buat kerja di semua DUN dan Parlimen.
“Hala tuju serta panduan itu sangat jelas bagi UMNO Perlis untuk terus bekerja di semua DUN,” katanya.
Rozabil berkata, pendekatan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi pilihan raya juga bergantung kepada kesesuaian dan keadaan politik semasa tanpa terikat kepada satu bentuk kerjasama tertentu.
Menurutnya, UMNO belum membuat sebarang keputusan rasmi mengenai pakatan politik bagi PRU16 dan sebarang kerjasama akan mengambil kira kesesuaian serta kepentingan parti.
Dalam pada itu, beliau berkata, perkembangan dan momentum politik semasa menunjukkan terdapat keinginan dalam kalangan rakyat untuk melihat BN kembali memainkan peranan dalam pentadbiran Perlis.
“Kita tidak sempurna dan ada kelemahan, namun jika hendak dibandingkan kerajaan PN ketika ini jauh berbeza dengan kerajaan BN dahulu. Kita harap rakyat boleh terima UMNO.
“Dengan barisan kepemimpinan baharu UMNO di Perlis dan semua tiga bahagian, kita berazam untuk menang semula dalam pilihan raya akan datang,” katanya.
Foto: Utusan Malaysia








