
SERIAN – Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Sarawak ke-65 bakal berlangsung di Serian Conference Centre (SCC) bermula 4 hingga 7 Februari depan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Islam dan DBKU), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, majlis perasmian akan disempurnakan oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya, Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar pula bakal menyerikan majlis pada malam penutupan dan penyampaian hadiah yang akan diadakan pada 7 Februari 2026.
“Bertemakan ‘Ummah Maju Makmur’, penganjuran kali ini menampilkan seramai 43 peserta merangkumi kategori qari, qariah serta hafazan lelaki dan wanita.
“Objektif utama majlis ini adalah untuk menyemarakkan lagi semangat cinta umat Islam kepada al-Quran sebagai kitab suci yang syumul dan merangkumi semua aspek kehidupan,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Residen Bahagian Serian, pada Rabu.

Jelas beliau, penganjuran ini juga merupakan platform penting dalam melahirkan lebih ramai qari, qariah, hafiz dan hafizah yang berkaliber di Sarawak, di samping memupuk persaingan sihat dalam kalangan peserta.
Dalam pada itu, Dr Abdul Rahman turut memaklumkan pelbagai acara sampingan telah diatur bagi memeriahkan sambutan tersebut.
Antaranya termasuklah Forum Perdana Hal Ehwal Islam, Kursus Pengukuhan Peserta MTQ, Seminar Saudara Kita, kuiz al-Quran serta pameran yang berlangsung sepanjang tempoh program.
Turut hadir Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datu Misnu Taha; Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak, Tuan Haji Mual Suaud dan Residen Bahagian Serian, Caroline Cleophas Joseph.
Foto: Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Sarawak



