
SARATOK – Cadangan pembinaan Saratok Town Square kini berada pada landasan positif susulan sesi libat urus dan taklimat reka bentuk projek yang diadakan di Perpustakaan Awam Saratok, pada Rabu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohammad Duri berkata, projek tersebut merupakan langkah signifikan dalam usaha memperindah landskap bandar serta menyediakan ruang awam yang lebih kondusif buat penduduk setempat.
Menurutnya, reka bentuk yang dibentangkan oleh firma JRC Architects and Landscape Design Associations itu mengetengahkan konsep moden yang memenuhi keperluan semasa masyarakat.
“Projek ini bukan sahaja menumpukan kepada aspek keindahan, malah menyediakan kemudahan parkir yang sistematik, padang bola keranjang serta ruang niaga berbumbung yang mampu menempatkan sehingga 30 buah gerai.
“Malah, cadangan mewujudkan pasar malam di kawasan ini dilihat mampu menjadi tarikan baharu sekali gus menghidupkan suasana malam di pekan Saratok,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas mengenai pembangunan infrastruktur, Mohammad Duri menyifatkan kerjasama erat antara beliau dan ADUN Krian, Friday Belik sebagai manifestasi komitmen Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam memacu pembangunan daerah tersebut.

Jelasnya, menerusi peruntukan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA), pembahagian projek telah diselaraskan bagi memastikan pembangunan yang menyeluruh.
“Saya akan memberikan tumpuan kepada pelaksanaan projek Tebingan Sungai Krian, manakala ADUN Krian akan menggalas tanggungjawab membina Dewan Masyarakat baharu serta menaik taraf Mini Stadium Saratok.
“Sinergi ini penting demi memastikan prasarana yang disediakan berkualiti tinggi dan memberi keselesaan optimum kepada semua lapisan masyarakat,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan kerjasama rentas agensi bagi melancarkan pelaksanaan Saratok Town Square.
Tegasnya, penglibatan agensi teknikal seperti Sarawak Energy Berhad (SEB), Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) serta Majlis Daerah Saratok (MDS) amat kritikal dalam merealisasikan aspirasi tersebut.
Sesi taklimat tersebut turut dihadiri ADUN Krian, Friday Belik; Pegawai Daerah Saratok, Mohammad Dino Amid; Setiausaha Majlis Daerah Saratok, McCrea Joseph Pererra serta wakil-wakil agensi berkaitan.



