
KUCHING – Cadangan pembangunan platform inklusi digital serta penilaian impak sosioekonomi untuk Orang Kurang Upaya (OKU) dibentangkan sebagai usaha memperkasa golongan tersebut menerusi inovasi digital.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, inisiatif tersebut disambut baik memandangkan ia mampu meningkatkan aksesibiliti dan keterangkuman golongan sasar.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat daripada delegasi akademik yang diketuai oleh Prof Dr Ida Adi Badiozaman dari Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak dan Prof Dr Wan Hashim Wan Ibrahim dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), pada Rabu.
“Kerjasama erat antara kerajaan, institusi akademik dengan rakan industri adalah amat penting dalam memajukan inklusi digital.
“Usaha ini sekali gus dapat meningkatkan kualiti hidup golongan OKU di Sarawak selaras dengan matlamat pembangunan yang inklusif,” katanya dalam satu kenyataan.
Difahamkan, cadangan inisiatif tersebut berhasrat memanfaatkan teknologi digital dan pendekatan berpacukan data bagi menyokong pembangunan inklusif.
Ia juga bagi memastikan perspektif serta keperluan golongan OKU diintegrasikan secara bermakna dalam perancangan dasar dan pelaksanaan program kerajaan.
Kunjungan hormat itu turut mencerminkan komitmen bersama semua pihak dalam meneroka penyelesaian inovatif demi pembangunan yang mampan dan saksama di negeri ini.



