
KINABATANGAN – Persiapan hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag yang dijadual pada Sabtu berjalan lancar.
Wakil Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, Datuk Sapdin Ibrahim berkata, persiapan ini membabitkan semakan isi peti undi yang dilakukan di tiga lokasi sebelum disimpan di tempat yang selamat.
“Proses semakan isi peti undi di Dewan Sri Lamag Kinabatangan membabitkan DUN Lamag dan Parlimen Kinabatangan, Dewan Entilibon Tongod semakan bagi DUN Kuamut dan Pejabat Pendidikan Daerah Kinabatangan untuk semakan DUN Sukau.
“Terdapat lapan Pusat Mengundi yang memerlukan helikopter untuk sampai di Pusat Penjumlahan Undi tetapi kita sudah mengambil langkah menutup Pusat Mengundi berkenaan lebih awal,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa meninjau proses semakan isi peti undi di Dewan Sri Lamag Kinabatangan, pada Khamis.

Tinjauan wartawan The Malaysia Press di Pusat Penjumlahan Undi Dewan Sri Lamag mendapati petugas SPR giat melakukan semakan isi peti undi.
Semakan berkenaan juga dilakukan bagi memastikan peralatan hari mengundi mencukupi dan semakan buku daftar pemilih dilengkapkan.
Dalam pada itu, SPR telah menyediakan sebanyak 146 unit kerusi roda untuk kemudahan pemilih iaitu 50 di DUN Kuamut, 40 DUN Lamag dan 56 di DUN Sukau.
Kesemua 37 pusat mengundi dengan 118 saluran akan dibuka bermula pukul 7.30 pagi.







